October 21, 2011

"Sejuta Umat" (Himpunan) -Membawa Impak Dalam PRU13

Usaha NGO Islam untuk menghimpun sejuta umat islam di Stadium Shah Alam pada 22/10/2011 bersamaan hari sabtu ini untuk menandakan protes terhadap orang Kristian yang kononnya memurtadkan orang Islam ke Kristian perlu dipandang serius oleh kerajaan.

Secara peribadi saya melihat sejak akhir-akhir ini sebilangan kecil pemimpin kita terlalu ghairah untuk menggunakan atas nama badan-badan NGO untuk melakukan provokasi melalui agama dan bangsa untuk memecahkan hubungan kaum yang sudah berkurun lamanya hidup harmoni. Jika sikap sebilangan pemimpin yang bertopeng badan NGO ini tidak dihentikan, saya yakin tidak semua orang M elayu bersetuju akan agenda di sebalik protes yang dilakukan.

 Sepatutnya kita perlu mengambil iktibar kembali kepada sejarah silam yang mengakibat rusuhan kaum sehingga berlakunya ketegangan yang dahsyat pada 13 Mei. Sebagai rakyat Malaysia yang lahir di negeri Sabah bersyukur bahawa bumi Sabah belum pernah diwarnai ketegangan kaum mahupun agama. Keunikan masyarakat negeri Sabah yang hidup hormat-menghormati telah diwarisi zaman berzaman sehingga sekarang.

 Isu penukaran agama Kristian ke agama Islam atau sebaliknya tidak lagi menjadi isu yang begitu sensetif, disebabkan ikatan kekeluargaan begitu akrab yang  tidak dapat dipisahkan, walaupun kepercayaan yang berlainan. Soal Tuhan yang mana kita sembah itu adalah hubungan secara peribadi kita dengan Tuhan yang mana ditentukan di hari hahirat nanti, kerana dunia tidak dapat menghakimi siapa yang harus masuk neraka atau sorga.

Dengan timbulnya pelbagai isu yang membabit agama dinegara ini menjelang PRU13 yang belum pun ada ketentuan masanya, seperti bermain bolasepak dipadang dalam masa kecederaan, bila-bila PM akan meniup wiselnya, saya khuatir sokongan rakyat terhadap BN akan berulang seperti mana pada PRU 2008. Ini bermakna PRU13 satu lagi keadaan getir yang harus dilalui oleh BN. Saya mempunyai alasan yang kukuh, kerana isu agama bukan sahaja melibatkan parti pembangkang, namun sedikit sebanyak faktor dalaman BN itu sendiri akan membawa padah.

Penafian pemimpin parti UMNO yang merupakan tunjang kerajaan BN tidak terlibat dalam himpunan tersebut, tidak cukup memberi keyakinan kepada sebilangan rakyat negara ini selagi  perhimpunan ini telah dihalalkan dan mendapat permit dari pihak polis. Justeru, ramai yang berpendapat bahawa sesuatu yang menghairankan, jika BERSIH diharamkan mengapa tidak layanan yang sama perlu dilakukan bagi badan-badan NGO lain tidak terkecuali.

Tuduhan bahawa perhimpunan ini telah dipolitikan oleh  sesetengah pihak tidak timbul, kerana rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan fahaman politik akan menyaksikan kebenaran siapa yang benar dalam hal ini. Apa yang kita harapkan  seluruh masyarakat yang menganuti pelbagai agama akan terus mendoakan kesejetheraan negara kita, agar Tuhan terus melindungi rakyat kita supaya hidup aman damai dan hormat menghormati serta sentiasa mengampuni orang yang cuba melakukan perbuatan keji terhadap sesama insan.

October 20, 2011

Isu Calon Menang

Gema Pilihanraya semakin hampir di mana isu-isu tentang formula pembahagian kerusi seringkali berkumandang. Ada kompenan parti BN merasa tidak puashati atas tingkah laku rakan mereka mengambil mudah dengan membawa kerusi mereka  ke parti lain, tetapi masih dalam kompenan tanpa bersusah payah untuk menuntut hak mereka dalam BN untuk menghadapi PRU akan datang.

Banyak istilah digunapakai dalam menentukan calon yang boleh menang dalam pilihanraya kali ini. Mungkin ada kewajarannya untuk mepastikan calon yang diketengahkan oleh BN nanti pasti memberi kemenangan selesa untuk memberi penguasaan BN lebih dua pertiga dalam dewan rakyat kelak. Walaubagai manapun ramai pengundi belum mendapat ilham, apa yang dimaksudkan "Calon Menang", kerana adakah pemilihan calon itu nanti berpaksikan kaum, bilang ahli parti dalam kawasan Parlimen atau DUN atau calon tersebut dapat diteriama oleh pengundi tanpa mengira latarbelakang, bangsa dan agama?.

Dalam menentukan seseorang calon yang mewakili parti  dalam sesuatu pilihanraya, pasti president parti akan membuat keputusan berdasarkan rekod masa lalu, itu pun kalau calon tersebut penyandang YB. Tetapi kalau dia merupakan calon baharu apakah kretria calon yang ditentukan. Ramai yang berpendapat seseorang calon perlu mempunyai hubungan baik dengan rakyat yang genuin, sanggup turun padang tanpa menunggu diadakan pilihanraya, tidak pilih kasih dan juga berpendidikan diperingkat Universiti, dengan tujuan seseorang wakil rakyat yang pilih boleh membawa pembangunan ekonomi berterusan kepada rakyat yang diwakilinya.

Walau bagaimana pun kretria-kretria yang kita ceritakan ini tidak mungkin terlintas dalam pemikiran seseorang yang ingin menjadi calon. Ini jelas bahawa kebanyakan mereka yang menjadi wakil rakyat tidak ada ciri-ciri untuk memperjuangkan masalah rakyat, tetapi mereka menganggap jawatan dan kuasa yang rakyat berikan untuk mereka melalui pilihanraya telah digunakan dengan rakus untuk membolot harta kekayaan bumi untuk kepentingan peribadi dan keluarga mereka.

July 26, 2011

PRU Ke 13 Ujian Getir Bagi BN

Melihat perkembangan isu-isu semasa situasi politik tanah air, saya mengambil kesimpulan bahawa pilihan raya ke 13 kali ini merupakan ujian paling getir dalam senario politik tanah air yang harus dihadapi para wakil rakyat BN. Kita sedia maklum bahawa usaha demi usaha DS Najib Tun Abd Razak, Perdana kita untuk memulihkan keyakinan rakyat selepas tsunami politik 2008, namun pintu kebebasan bersuara yang dibuka Tun Abdullah Badawi mantan PM amat sukar ditutup.

 Pilihan raya kali ini amat sukar diramal dari aspek kekuatan parti yang bertanding. Kalau ditinjau dari laporan akhabar kebangsaan atau berita-berita TV tentu sekali  90% yang mengatakan rakyat masih dibelakang kerajaan BN yang memerintah. Tetapi, adakah kita pernah terfikir suara dari akar umbi itu kalau diterjemahkan ke peti undi, itulah sebenarnya  menentukan siapa yang membentuk kerajaan akan datang.
 Apa yang saya lihat situasi politik di semenanjung kini semakin parah. Isu-isu agama, bangsa dan hak asasi manusia kini menular dikalangan masyarakat pelbagai bangsa dan agama sedang berlaku.

Jika kita mengimbas kembali, bagaimana isu-isu sensetif ini berlaku, tentu sekali ramai yang menyalahkan parti-parti pembangkang kononnya merekalah punca sebenar. Tetapi, UMNO dan Melayu lupa, apa yang berlaku hari ini sebenar disebabkan kebongkakaan sebilangan kumpulan kecil mereka telah menafikan hak bangsa lain yang sepatutnya dikongsi bersama. Banyak bukti yang sukar mereka nafikan kebenarannya. Dalam perhimpunan besar, mereka terus mengesak dan menyindir bangsa lain dan begitu juga badan-badan NGO pro kepada kumpulan ini dengan menggunakan pelbagai teknik termasuklah mengistharkan perang salib kepada bangsa dan agama lain. Adakah, selama ini bangsa lain tidak menghormati kumpulan ini?. jawapannya tidak. Kerana bangsa lain terpaksa gigih berusaha untuk meningkatkan kehidupan mereka tanpa mencuri hak orang lain dan mengharap apa pun bantuan dari pihak kerajaan.

Kita merasa simpati usaha DS Najib atas usaha beliau mencipta pelbagai dasar demi mentransfomasikan negara dan ekonomi kita ketaraf yang lebih hebat, agar rakyat menikmati hidup selamat dan selesa. Tetapi, terdapat juga sebilangan kecil orang disekililing beliau yang tidak memikirkan keharmonian dan hubungan kaum sering mencetus provokasi, tanpa mereka sedari merakalah sebenarnya menimbulkan provokasi. Kenyatan demi kenyatan DS Najib untuk memulihkan hubungan kaum dan agama dinegara ini, termasuk baru-baru ini berjumpa dengan Pope roman katolik  di Vatican city, masih tidak menyakinkan rakyat penganut agama kristian dinegara ini tentang keikhlasan DS Najib menengani isu tersebut. Ini disebabkan penahan beberapa  naskah alkitab dan pengharaman istilah-istilah yang digunakan oleh orang kristian berkurun-kurun, juga menjadi persoalan yang belum selasai.

Sebagai rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian, saya mengesyorkan agar para pemimpin UMNO-BN, serta badan-badan NGO lain perlu mengambil langkah proaktif untuk membantu DS Najib bagi menjamin gagasan 1Malaysia itu dapat dicapai, dengan mengambil sikap sederhana dan adil kepada semua kaum dinegara ini, tanpa menyingong perasaan orang lain. Kejayaan Malaysia hari ini sejak meredeka lagi, adalah hasil kerjasama dan hubungan kaum yang baik. Dan tidak ada satu bangsa pun menganggap mereka adalah champion dinegara ini.

May 09, 2011

Isu Agama Kristian Agama Rasmi Satu Rekaan

Laporan Utusan Malaysia berhubung dengan pertemuan paderi kristian di Pulau Pinang yang dimuatkan melalui blog kononnya pertemuan Paderi tersebut adalah mengistharkan agama kristian sebagai agama rasmi persekutuan dan Perdana Menteri orang kristian, tidak masuk akal. Perbuatan pihak tertentu untuk memporak peranda keharmonian negara berbilang kaum sepatutnya dikutuk habis-habisan oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa agama dan kaum. Pihak media massa perlu berhati-hati menyiarkan sebarang berita yang belum pasti ketulinan sesuatu bahan tanpa prejudis terhadap sesuatu kaum atau agama di negara ini.

Saya berpendapat berita karut dan rekaan melalui blog pribadi ini adalah berniat jahat dan merupakan strategi politik kotor oleh sebilangan politikus yang sudah ketandusan idea untuk mengambalikan keyakinan rakyat untuk menyokong mereka dalam pilihan raya ke 13 akan datang. Perhimpunan atau pertemuan para pemimpin agama semada Islam dan kristian, jangan sekali-kali disalah tafsirkan seolah-olah setiap pemimpin agama yang berstatus mulia ini berniat jahat, sedangkan tanggungjawab mereka lebih besar dari seorang pemimpin politik.
Justeru, prangsangka buruk yang cuba mengapi-apikan isu-isu agama dengan tujuan menimbulkan rasa perkauman yang kini serius dinegara ini harus dihentikan dengan segara.

Sebagai seorang kristian dan mempunyai saudara kandung yang ada hubungan kekeluargaan dengan orang Melayu melalui perkahwinan di negeri Kelantan, Pahang dan Johor, amat sedih apa yang berlaku dinegara kita terutama sekali di Semananjung Malaysia. Ada setengah pihak cuba mengeruhkan suasana kerukunan hubungan kaum yang sedia terjalin, dengan menuduh bangsa lain tidak sensitif terhadap perasaan sesuatu kaum. Malahan setiap majlis yang dianjurkan oleh sesuatu agama, dan kebetulan dihadiri oleh seorang wakil rakyat pembangkang yang menganut agama kristian, juga dijemput dicap mempunyai muslihat tertentu. Adakah adil tuduhan secara melulu yang dilimparkan kepada penganut agama lain, tanpa memikirkan akibatnya?.

Untuk tetapan para pembaca blog saya, sebagai penganut agama kristian rumah ibadat merupakan tempat yang suci dan kudus, dan adalah menjadi amalan orang kristian setiap khotbah dan doa syafaat mohon kepada Tuhan Yang Esa agar melindungi pemimpin negara terutama YDPA, Perdana Menteri, Tim. Perdana Menteri, jemaah Menteri kabenat, wakil-wakil rakyat dan Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri agar mereka diberi hikmat memerintah negara ini secara adil dan saksama, bebas daripada rasuah dan bijak mengurus hasil bumi serta kesihatan mereka sentiasa terpelihara. Penganut kristian juga diajar untuk memaafkan setiap penganiyaan yang dilakukan terhadap mereka tanpa membalas dendam, hanya akhirat yang menentukan pengadilan bukan manusia didunia ini.

Dalam artikal 11 perlembagaan Persekutuan, umat kristian dinegara ini sentiasa menghormati undang-undang yang inginkan kehermonian antara agama, disamping mengakui agama Islam adalah agama rasmi negara dan Perdana Menteri Malaysia juga beragama Islam, itu sudah termaktub dalam perlembagaan negara yang ditidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Apa yang saya lihat, semakin pihak-pihak tertentu membuat fitnah dan tuduhan liar terhadap bangsa dan agama lain, maka akhirnya rakyat akan membuat penilaian dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang, bukan pemimpin yang selalu mencari publisiti murahan seperti pembela, Perkasa dan lain-lain. Rakyat sudah muak dengan perangai segelintir pemimpin yang memperalatkan badan-badan tertentu termasuk media yang tidak bertanggungjawab. Cuba imbaskan kembali perbuatan yang terkutuk meletakkan kepala babi diperkarangan masjid dan banyak lagi perbuatan keji mencamarkan rumah ibadat. Angakara siapa kah ini ? orang awam
ingin tahu adakah petualang ini ditangkap dan diadili dan siapakah mereka?..

Pemimpin persekutuan perlu sensitif apabila mengulas sesuatu isu, apatah lagi isu yang membabitkan kaum dan agama dinegara ini, bukan ikut sedap mulut sahaja. Kerana mereka bukan mewakili kaum mereka sahaja, tetapi mereka adalah pemimpin untuk semua lapisan masyarakat dan bangsa dinegara ini. Jika pemimpin bersikap prejudis terhadap rakyat yang diwakili mereka, akibatnya konsep 1Malaysia yang dicanang-canangkan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak, tidak dapat dilaksanakan kerana jemaah menteri beliau terlalu emosi tanpa memikirkan akibat masa depan negara ini. Persoalan saya, mengapa kementerian halehwal dalam negeri yang diketuai oleh Dato' Hashamuddin Tun Hussein, tidak mengambil tindakan terhadap individu yang bersongkolkan badan NGO sering menimbulkan isu-isu yang berbau perkauman, apakah ini satu sikap double standard?.

Sebagai rakyat bumiputera negeri Sabah merasa bangga atas sikap kesedarhanaan yang ditunjukkan oleh kepimpinan negeri ini, yang diketuai Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Musa Aman, yang tidak terikut-ikut dengan rentak politik ala Semananjung. Kita berharap pemimpin lain juga perlu bersikap sedimikian, kerana rakyat Sabah selama ini hidup dalam suasana aman damai. Walaupun negeri Sabah mempunyai lebih 30 ethnik suku kaum namun mempunyai keunikan budaya, toleransi dan agama yang begitu baik, perlu menjadi contoh kepada negeri lain di Semananjung. Jangan sekali-kali keunikan dan suasan harmoni negari kita dicabuli oleh pihak-pihak tertentu yang ingin menjajah minda kita dan generasi masa depan anak negeri kita.

April 25, 2011

Ada Sebab Datuk Chin Su Phin Lantang Bersuara



Kelantangan suara Datuk Chin Su Phin, Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik People ( LDP ) mengkritik kepimpinan BN negeri telah menimbulkan ketegangan dan kemarahan di kalangan pemimpin kompenan BN terutama sekali para pemimpin UMNO yang tidak mau Ketua Menteri Sabah dikritik secara terbuka. Ada sesetengah pemimpin ini menggelar Datuk Chin sebagai biadap, tidak menghormati Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Hj Aman sebagai Ketua Perhubungan BN Negeri. Malahan kenyataan Datuk Salleh Tun Said Keruak juga menggesa pemimpin UMNO negeri harus mempertahankan Ketua Menteri setelah diasak bertubi-tubi kritikan dari pemimpin orang nombor dua LDP itu.


Kalau kita mengimbas kembali sejarah parti LDP di negeri ini yang diasaskan oleh mantan Presiden Tan Sri Chong Kah Kiat pada awal tahun 80-an, sudah pasti ramai yang bersetuju bahawa parti LDP lah yang sanggup timbul dan tenggelam bersama BN sebelum kedatangan UMNO ke Sabah. Saya masih ingat keahlian anggota LDP seluruh negeri Sabah pada masa itu lebih kurang 7000 orang. Atas kesetiaan Tan Sri Chong Kah Kiat semasa era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad, menyebabkan Tan Sri Chong Kah Kiat diserapkan ke dalam kabinet beliau melalui perlantikan sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) yang membolehkan beliau memegang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu.


Apa yang saya lihat kenyataan Datuk Chin Su Phin, mengambil senario politik negeri Sarawak baru-baru ini sebagai kayu pengukur yang berkemungkinan akan berlaku di Sabah di mana pengundi masyarakat Cina akan beralih kepada pembangkang dalam PRU13 dan seterusnya pembangkang meraih banyak kerusi, sukar bagi kita menerima dan bersetuju pendapat beliau. Ini disebabkan kepimpinan negeri Sarawak yang dikemudikan Pehin Tan Seri Taib, telah begitu lama dan perlu suntikan tenaga dan idea baru untuk memecut ekonomi negeri tersebut lebih dinamik.


Untuk mentransformasi dan menggilap pemimpin menerajui sesebuah oragnisasi atau kerajaan tidak perlu memerlukan masa sehingga 30 tahun, kerana rakyat akan merasa muak dengan corak kepimpinan yang lama. Bagi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Hj Aman, rakyat masih memerlukan beliau untuk menerajui kerajaan negeri, sekurang-kurangnya satu penggal lagi. Ini dapat dibuktikan, bahawa kemampuan dan kepimpinan beliau begitu terserlah untuk membawa Negeri Di Bawah Bayu ini ketahap yang lebih gemilang pada masa depan setanding negeri-negeri di semananjung. Ditambah pula Datuk Seri Musa, belum sampai 10 tahun sebagai Ketua Menteri Sabah, dan kita sudah melihat hasil yang membanggakan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.


Sebagai kesimpulan dalam artikal ini, bahawa kelantangan Datuk Chin Su Phin mengritik kepimpinan BN negeri bukanlah mempunyai agenda peribadi, tetapi faktor-faktor yang berkemungkinan beliau menjadi alat dalaman setengah pihak dalam kompenan BN itu sendiri yang begitu ghairah untuk mengganti kepimpinan Ketua Menteri. Disamping itu, LDP tidak punya pilihan kecuali mengkritik Ketua Menteri Sabah dengan alasan mereka sudah menegakkan kebenaran dan menuntut keadilan, agar sumbangan mereka tidak diketapikan dengan sewenang-wenangnya. LDP juga takut dengan bayang-bayang, jika mereka tidak lantang bersuara berkemungkinan akan dihukum oleh pengundi, terutama sekali masyarakat Cina dalam PRU13 akan datang.


Kekhuatiran akan pengundi mereka mengalihkan undi mereka kepada DAP, seperti mana berlaku kepada parti SUPP di Sarawak. Bukan itu sahaja, senario ini berlaku kepada parti PBS pada awal tahun 1990 di mana ramai yang berpendapat, seandainya mereka tidak keluar BN pasti pengaruh DAP akan menular ke Sabah.


Saya juga ingin membuat andaian kemungkinan dalam beberapa mesyuarat kepimpinan BN negeri yang mereka hadiri tidak dapat memuaskan hati mereka, disebab permintaan dan tuntutan ditolak. Maka cara terbaik mereka untuk menyuarakan pandangan adalah melalui media massa, walaupun ada setengah pihak tidak dapat menyalami isi hati mereka yang sebenar.

April 21, 2011

Kesudahan PR Sarawak Ke10 Sebagai Isyarat PRU ke13

Mengimbas kembali keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sudah baru berlalu beberapa minggu lalu, umum berpendapat bahawa penguasaan 12 kerusi oleh DAP daripada 14 kerusi yang ditandingi majoriti pengundi masyarakat cina telah diduga. Malahan Tun Dr Mahatahir mantan PM kita berpendapat virus politik perkauman DAP telah pun menular ke Sarawak. Apa pun pendapat beliau tentang keputusan pilihan raya yang memperlihatkan bahawa masyarakat cina lebih cendorong menyokong pembangkang terutama DAP, tidak semestinya pendapat beliau dipersetujui seratus peratus.

Adakah kita tidak sedar bahawa kedengaran suara-suara yang terlalu ekstrem dan melampau melaung-laungkan tentang satu ketuanan bangsa hanya kepada sesuatu kaum sahaja, bukan kah itu satu perkauman yang serius?. Walau bagai manapun,kesudahan pilihan raya ke10 negeri bumi kenyelang adalah merupakan isyarat kepada BN untuk menghadapi PRU ke13.

Banyak faktor dan sebab musebab kenapa parti pembangkang meraih tambahan kerusi dalam pilihan raya kali ini, walaupun tsunami politik tidak menjadi. Namun gelora politik kali ini telah sedikit sebanyak akan mendorong rakyat Sarawak berani membuat keputusan dimasa depan tanpa merasa tekanan dari mana-mana pihak. Penampilan beberapa calon-calon muda yang mewakili DAP dalam lingkungan usia bawahan 30 memerperlihatkan bahawa pengundi yang diwakili mereka inginkan perubahan di peringkat kepimpinan negeri, kerana mereka sudah muak dipimpin oleh golong tua yang tidak mahu turun dari takhta kecuali dipaksa.

Kita juga harus melihat peralihan sokongan masyarakat cina kepada pembangkang secara positif tanpa membuat kesimpulan negatif dan menghukum mereka. Dalam sistem negara yang mengamalkan demokrasi dimana-mana dunia pun kerajaan tidak seharusnya mengenapikan rakyat dalam soal pembangunan, kerana setiap rakyat dan pembayar cukai berhak menuntut apa yang seharusnya dimiliki mereka. Apa bila sesebuah kerajaan tidak telus dan adil, rakyat akan mengadili mereka melalui peti undi.

Kita juga harus sedar bahawa pengalaman dalam mentadbir kerajaan terlalu lama bukan menjadi kayu pengukur sesorang pemimpin kearah sesebuah negara dan negeri kepuncak kejayaan untuk bersaing diperingkat global semada ekonomi, politik maupun sosial. Lihat President Amerika Barak Obama, beliau hanya merupakan seorang ahli senate junior tetapi kini menjadi President negara besar, bukan itu sahaja malahan dunia tunduk dengan negara tersebut.

Transformasi kerajaan dan ekonomi yang diwar-warkan oleh kerajaan sepatutnya juga melibatkan transformasi pemimpin, agar idea-idea baharu dapat disuntik untuk memacu ekonomi negara kita dalam suasana persaingan tanpa hak mutlak dan keistimewaan sesuatu suku kaum, baharulah negara tersebut dianggap kompetatif.

Berbalik kepada keputusan pilihan raya ke10 Sarawak,masyarakat bumiputera melanau/melayu, iban, badayuh, dan orang ulu lain masih memberi sokongan kuat kepada BN, dimana parti kompenan BN seperti PBB,PRS,SPDP dan calon bumiputera yang mewakili SUPP juga menang. Ini menunjukkan bahawa bumiputera Sarawak masih bergantung penuh dengan usaha kerajaan untuk meneruskan pembangunan ke kawasan mereka.

Faktor lain yang kita lihat bahawa masyarakat bumiputera Sarawak belum bersedia membuka pintu mereka untuk parti dari Semenanjung untuk bertakhta di Sarawak, kerana BN negeri merupakan produk tempatan cuma menjadi kompenan BN, bukan seperti di Sabah dengan kehadirannya UMNO. Adapun kemenangan parti PKR yang menang 3 kerusi disebabkan kualiti,populariti serta personaliti calon itu sendiri yang menjadi nilai tambah kepada peribadi tersebut yang dapat menambat hati para pengundi.

Saluran maklumat juga, sedikit sebanyak boleh mempengaruhi persekitaran pemikiran mereka untuk menyokong seseorang calon atau parti, kerana majoriti masyarakat dikawasan pedalaman yang daif dan ditambah dengan kekurangan infrastruktur yang membuat mereka kurang terdedah dengan pengaruh media menyebabkan mereka tidak banyak pilihan, selain menyokong kerajaan yang sedia ada.

Walau bagaimana pun dengan kehadiran 16 wakil pembangkang di dewan undangan negeri Sarawak bakal menghangatkan suasana perdebatan mereka dengan wakil BN, ini menunjukkan suasana politik di negeri ini bertambah sihat kerana sistem demokrasi akan terus hidup.

Apa pun andaian semada pro dan kontra berhubung kesudahan pilihan raya ke10 Sarawak, kita tidak nafikan bahawa PRU ke13 bakal menanti satu lagi debaran yang perlu BN lalui, kerana kita percaya pembangkang Sarawak mampu menghantar 5 hingga 7 orang wakil mereka ke Parlimen dalam PRU akan datang ini, jika dilihat persiapan dan strategi serta isu-isu yang mereka gunakan semasa PR ke10 lalu.

April 14, 2011

Debaran Tsunami politik Sarawak Kini Menanti.

Bahang kehangatan kempen pilihan raya Sarawak kini memuncak. Ramai penganalisa politik tanah air menjangka Sarawak bakal mengalami Tsunami politik yang tidak pernah berlaku sejak beberapa dekat.Walaupun usaha parti pemerintah BN telah berusaha mengarah tenaga dari pelbagai sudut, namun rakyat Sarawak tidak lah semudah itu untuk mengiakan, apa pun janji manis BN untuk terus menyalurkan pembangunan kepada rakyat yang selama ini telah dinafikan hak mereka.

Mungkin selama ini kepimpinan negeri yang diterjui Pehin Tan Sri Taib Mahmood selama lebih dari tiga puloh tahun, menganggap rakyat masih lagi memberi sokongan padu kepada kepimpinan beliau dan kuncu-kuncunya, namun jangkaan tersebut kini kian melesat. Ini bukan disebabkan kepintaraan pemimpin pembangkang berhujah semasa kempen seperti Lim guan Eng, Lim Kit Siang, DS Anwar Ibrahim, Tok Guru Nik Aziz dan ramai lagi pemimpin pembangkang lain, tetapi isu - isu domestik merupakan alasan rakyat Sarawak sudah muak dengan kepimpinan BN negeri. Sebagai contoh isu tanah adat NCR, kekayaan yang dimiliki oleh Pehin, dan yang terbaharu penahan beribu-ribu naskah Alkitab kristen yang dianggap mereka sebagai penghinaan dan penafian hak kebebasan beragama, yang majoriti penduduk negeri ini adalah penganut agama kristen.

Banyak ramalan dan analisa politik telah dibuat oleh badan-badan NGO dan para penganalisi politik di institusi pengajian tinggi tempatan negeri ini, menjangkakan keputusan pilihan raya pada malam 16 April, nanti bakal membuat kejutan. Ada pihak menjangkakan parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP, PAS, dan SNAP mampu menafikan 2/3 minapulasi dewan, yang dikuasai BN yang terdiri daripada PBB, SUPP, SPDP, dan PRS dan tidak kurang pula meramalkan pilihan raya kali ini akan menukar kerajaan BN yang sedia ada.

Pendapat saya secara peribadi berhubung pilihan raya negeri Sarawak kali ini adalah angin perubahan yang begitu ketara hasil analisa saya berdasarkan cakap - cakap di kaki lima atau kedai kopi di pekan Lawas, yang meliputi kawasan dewan undangan negeri Ba'Kelalan dan Bukit sari beberapa bulan lalu sebelum penamaan calon. Ramai daripada mereka yang saya temui mengatakan mereka akan berpihak kepada pembangkang disebabkan kerajaan BN negeri begitu bermaharajalela memerintah bumi kenyalang ini. Saya juga sempat bersembang-sembang dengan seorang tauke yang berasal dari Miri, Sarawak yang mempunyai rangkaian perniagaan besar di Sabah dan Kuala Lumpur, juga berkongsi perkara yang sama sentimen rakyat Sarawak yang inginkan perubahan.

Melihat senario politik yang bergolak di bumi Kenyalang saat ini, bukanlah perkara baru namun pihak kepimpinan BN negeri menganggap rakyat tidak sensetif dengan pembangunan, sehingga keadaan semakin parah yang sukar diubati. Pembanguanan sepatutnya dilaksana bebarapa dekat lalu, bukan semasa pilihan raya, kerana rakyat Sarawak mulai sedar.

April 07, 2011

Tahap Kesedaran Kebersihan Warga KK Masih Rendah.

Walaupun usaha demi usaha Datuk Bandar Kota Kinabalu Ybhg Datuk Abidin Madingkir yang hanya kurang dua bulan dilantik sebagai Datuk Bandar untuk mempastikan bahawa bandar Kota kinabalu sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat didiami, tetapi masih ada sebilangan kecil warga kota tidak peka terhadap saranan tersebut.

Semasa saya sedang memandu dari Likas ketempat kerja menuju ke bandar KK pada 6hb April, lebih kurang jam 7:45 pagi, terdapat sebuah kenderaan jenis mewah dihadapan saya yang bernombor SAA525x berhenti dilampu isyarat simpang empat dari Luyang ke Stadium Likas telah membuang tisu (kertas) dari kenderaan beliau. Bayangkan saja orang yang mempunyai kedudukan dan mewah membuang sampah dimerata-rata tempat dengan sesuka hati, bagaimana pula kita cuba mendisplinkan orang kampung yang hanya baru masuk bandar tidak tahu menahu peraturan atau undang-undang dalam bandar, apakah kita akan menghukum mereka (mendanda)? .

Persoalannya sekarang bukan orang bandar atau kampung atau orang kaya atau orang miskin, tetapi tahap kesedaran kebersihan masih rendah dikalangan warga kota. Apa pun alasan mereka mengenai kebersihan bandar kota kinabalu, namun tanggungjawab kebersihan ini bukan diletakkan keatas bahu datuk bandar seorang sahaja, malahan warga kota harus bertanggungjawab dan menyokong hasrat Datuk bandar supaya bandar kota kinabalu sentiasa mesra alam. Disamping menunjukkan kepada para pengunjung samada dari dalam maupun luar negeri, bahawa warga kota mempunyai displin yang baik demi menjaga keindahan bandar raya kita.

Untuk mempastikan bandara raya kita bersih, pihak institusi pendidikan tinggi dan sekolah dipelbagai peringkat disekitar bandar kota kinabalu perlu mengambil inisiatif untuk memberi kesedaran sivik kepada pelajar - pelajar, dan begitu juga persatuan - persatuan NGO mengambil langkah yang sama, agar usaha murni mereka dapat membantu sedikit sebanyak tahap kesedaran kebersihan bandar kita.

Hukuman yang dikenakan kepada mereka yang bertanggungjawab membuang sampah tidak akan dapat memberi kesan jangka panjang untuk memelihara suasana bandar yang bersih, namun kesedaran dan perubahan minda kita terhadap sesuatu yang baik dan membina masyarakat yang komited terhadap kebersihan akan membuahkan hasil jangka panjang.

Agensi - agensi kerajaan dan swasta perlu mengambil bahagian untuk menaja (sponsor) kawasan - kawasan atau taman - taman, yang akan menjadi program anak angkat setiap sudut dalam bandar, supaya ia menjadi satu projek atau program yang di kawalsalia oleh agensi mereka agar kebersihan taman tersebut dijamin berterusan.

April 05, 2011

Tahniah SPRM

Tindakan SPRM membongkar serta mengambil tindakan terhadap beberapa Pegawai kanan Kastam yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa mengakibatkan unsur-unsur rasuah, patut diberi pujian. Kerugian kerajaan sehingga berbilion ringgit merupa perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan merupakan jenayah perdagangan berprofil tinggi yang tidak seharusnya dilakukan oleh penjawat awam yang telah diberi amanah oleh kerajaan.

Bayangkan sahaja penangkapan seramai lebih 60 orang pegawai kanan kastam melalui operasi besar-besaran yang dilakukan oleh SPRM dengan kerjasama LHDN, Polis dan agensi-agensi penguatkuasa lain. Sikap penjawat awam ini seolah-olah tidak lagi bermaruah sama sekali. Usaha SPRM perlu mendapat sokongan sepenuhnya dari pelbagai masyarkat agar negera kita bersih dari anasir-anasir rasuah.

Perbuatan rasuah bukan sahaja menyalahi undang-undang negara, namun ia juga perbuatan haram dan jijik dalam ajaran agama masyarakat masing-masing. Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik untuk menukar atau menggantung para pegawai penguatkuasa yang terlibat dengan tujuan untuk memulihkan intigeriti jabatan yang telah tercemar.

Tindakan ini bukan sahaja terhad kepada jabatan kastam semata-mata, tetapi dimana sahaja agensi-agensi yang sering terdedah terhadap aktiviti rasuah perlu diambil perhatian. Pengistharan harta pegawai - pegawai yang terdedah haruslah diwartakan supaya keyakinan dan pandangan masyarakat tidak terpesong.

Mampukah Pembangkang Tawan Sarawak?

Walaupun pada mulanya pakatan pembangkang Sarawak beria-ia benar untuk berkerjasama menumbangkan kerajaan BN Sarawak dalam pilihan raya umum negeri, yang hanya berbaki 10 hari lagi, namun masih belum ada sepakatan dari parti - parti yang terlibat.

Kegairahan PKR untuk meletakkan calon mereka di 49 kawasan DUN, yang mana terpaksa bertembung di 25 kawasan DUN dengan parti kebangsaan Sarawak ( SNAP ) yang merupakan rakan pembangkang negeri, telah menunjukkan masa depan mereka semakin malap untuk menerajui kerajaan Sarawak pada malam 16 April 2011.

Bagi DAP, kemungkinan mereka mempunyai peluang yang baik yang mana mereka menumpukan kawasan bandar, dimana hanya meletakkan calon di 15 kawasan DUN terutama dikawasan bandar yang didominasi oleh masyarakat cina yang mempunyai sentimen yang berlainan, jika dibandingkan kaum bumiputera diluarbandar yang kehausan pembangunan. Kita juga melihat perubahan yang dilakukan oleh kepimpinan parti BN negeri yang mana mengemukakan seramai 18 orang muka baru daripada bilangan calon seramai 71 orang, telah menunjukkan satu transasi parti tersebut untuk mengekalkan populariti bagi mengulangi kejayaan masa lalu.

Saya boleh katakan bahawa BN telah berhati-hati dalam memilih calon mereka untuk memestikan setiap calon yang diletakkan akan menang. Sebagai contoh kawasan DUN Ba' Kelalan yang diwakili YB Nelson Balang Rining dari parti SPDP (BN) yang kurang cermalang sepanjang perkhadmatan sebagai wakil rakyat setelah menggantikan mendiang Dr Judson Sakai Tagal yang terlibat dalam nahas kapal terbang, kini diketapikan dan diganti oleh seorang peguam muda Encik Willie liaw seorang suku Lunbawang yang merupakan ketua pemuda SPDP Ba' Kelalan.

Percaturan SPDP (BN) kawasan Ba' Kelalan adalah penting disebabkan mereka terpaksa berhadapan Pengerusi perhubungan PKR negeri Sarawak Encik Baru Bian, seorang peguam yang tidak asing lagi bagi masyarakat Lunbawang dikawasan tersebut. Beliau merupakan seorang hero yang tampil untuk mempertahan hak tanah adat, dan ramai yang menjangka cubaan beliau kali ketiga mengadu nasib untuk bertanding akan memihak kepada beliau kali ini.

Beberapa minggu lalu saya sempat berkunjung ke daerah Lawas yang merupakan pekan tempat masyarakat Lunbawang membeli belah dan juga pusat pentadbiran kawasan DUN Ba' Kelalan, kedengaran suara - suara suasana kempen sudah bermula, kerana ada yang berbisik pilihan raya kali ini akan memihak kepada Encik Baru Bian. Apa pun yang berlaku pada 16 April 2011, kemungkinan untuk mengubah landskap politik negeri Sarawak adalah amat sukar, kerana rakyat bumiputera negeri Sarawak masih memerlukan kerajaan BN untuk terus membangun selaras dengan kosep 1Malaysia yang dilaung-laungkan Datuk Seri Najib Abdul Razak selaku perdana menteri Malaysia.

Alasan yang lain rakyat bumiputera Sarawak masih belum keterbukaan untuk menerima parti yang berpusat dari semananjung, kerana parti yang dipimpin oleh Tan Sri Taib Mahmud adalah parti yang berasaskan lokal PBB, SUPP, SPDP dan PRS merupakan jenama Sarawak, tidak seperti negeri Sabah dengan kehadiran UMNO. Kalau pun rakyat Sarawak ingin mengubah landskap politik Sarawak dalam pilihan raya kali ini , maka perubahan secara dalaman dengan mengalihkan undi mereka kepada SNAP untuk menafikan penguasaan 2/3 BN dalam DUN Sarawak kemungkinan boleh berlaku.
 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved