December 19, 2011

Siapakah Datu Akjan Ali Mempersoalkan Penubuhan RCI?

Kehangatan penubuhan RCI (Royal Commission of Inquiry / Suruhanjaya Siasatan Diraja) untuk menyiasat kebanjiran PTI di Sabah belum pun reda, timbul satu lagi isu berhubung bantahan Datu Akjan Ali yang menggelar dirinya Pengerusi Pekida Sabah yang mempersoalkan penubuhan badan tersebut. Apa yang menjadi persoalan umum ialah apakah kapisiti Datu Akjan Ali untuk membuat bantahan penubuhan RCI? Adakah beliau mewakili rakyat tulen majoriti bumiputera Sabah? Atau mewakili Pekida yang kita tidak pasti ketulenan keahliannya? Atau bagi pihak sebuah parti politik yang berkepentingan di negeri ini? Atau Superman, yang punya kekebalan luarbiasa?

Melihat kembali kepada beberapa isu yang melibatkan individu yang dipanggil Datu Akjan Ali ini, seolah-olah kekebalan individu ini daripada pihak berkuasa mahupun kerajaan tidak dapat menyentuh individu tersebut untuk diambil tindakan. Apakah keistimewaan yang ada pada Datu Akjan Ali? Penahanan beliau di bawah Akta ISA selama dua tahun beberapa tahun lalu cukup membuktikan penglibatan individu ini dalam akitiviti yang berkemungkinan bercanggah dengan perundangan Negara dan ditambahkan lagi isu yang terbaharu pengisytiharan Datu Akjan Ali sebagai Sultan Sulu, sudah cukup untuk pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang boleh mengancam keselamatan Negara kita.

Kenyatan beliau berhubung prerogratif Kerajaan Persekutuan untuk memberikan kewarganegaraan Malaysia amat mengelirukan, apatah lagi Datu Akjan Ali menjelaskan setiap mereka yang tinggal di negeri ini selepas 15 tahun boleh memohon menjadi Warganegara Malaysia. Semua kenyataan beliau adalah karut semata-mata, kerana ramai suku kaum bumiputera Sabah lain yang lahir di negeri ini atau telah berhijrah ke negeri ini 40 tahun lepas amat sukar mendapat kewarganegaraan disebabkan surat akuan bersumpah tidak mudah diperolehi di tepi jalan-jalan raya. Apakah pemberian kewarganegaraan berdasarkan Agama dan Bangsa? Kalau itu maksud Datu Akjan Ali, maka Kerajaan Malaysia selama ini telah tidak adil kepada etnik atau Agama lain dalam mendapat kewarganegaraan yang membatasi Perlembagaan Malaysia.

Ketidak rasionalan kenyataan beliau mengatakan bahawa penubuhan RCI akan menimbulkan kebencian rakyat terhadap pentadbiran BN adalah satu pemikiran yang sempit dan tidak setimpal dengan ilmu kedoktoran (DR) yang beliau gunakan sebelum nama Datu Akjan Ali. Dan beliau juga mengatakan tujuan penubuhan RCI ini adalah untuk kepentingan politik kumpulan tertentu. Saya ingin bertanya Datu Akjan Ali dan parti-parti politik yang membantah penubuhan RCI ini, bukankah mereka yang menentang penubuhan RCI ini mempunyai agenda politik dan kepentingan diri? Isu penubuhan RCI bukan tujuan memutar belit politik atau sejarah negeri ini oleh sebilangan kompenan BN yang menyokong penuh penubuhan RCI. Sokongan penubuhan RCI membuktikan bahawa sebilangan pemimpin Politik di negeri ini samada parti BN atau pembangkang sedar bahawa negeri Sabah dan rakyat tulen negeri ini perlu dilindungi hak mereka demi masa depan anak bangsa.

Sebagai Warganegara dan Bumiputera Murut anak negeri Sabah tulen, saya ingin menggesa para pemimpin negeri Sabah, supaya bersatu untuk mempertahankan hak rakyat dan negeri ini, dan mendahului kepentingan rakyat daripada kepentingan diri. Perkara 20 yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, yang menyentuh hak immigresen menjadi hak kerajaan negeri Sabah harus dipertahankan. Jangan ada pemimpin kita samada dalam BN atau pembangkang sanggup menjual maruah Bangsa dan Agama menjadi petualang negara. Sebagai kesimpulan bagi mereka yang menentang Penubuhan RCI, mereka lah sebenarnya bukan rakyat asli penduduk negeri Sabah yang mahu merampas hak kedaulatan rakyat negri ini.

image source: Sabah Kini
 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved