May 04, 2012

Demokrasi Malaysia Di Persimpangan

Bila kita bercakap tentang Demokrasi sesebuah negara, rakyat pasti membuat kesimpulan bahawa demokrasi adalah kebebasan hak bersuara, menuntut keadilan dalam apa jua aspek samada Politik, Ekonomi  dan Sosio budaya. Dan seringkali Negara Malaysia lah yang muncul ingin menjadi juara di kalangan negara-negara Asia Tenggara malah dunia. Malaysia lantang bersuara mengkritik yang kononnya negara-negara Eropah dan Amerika melakukan banyak sikap prejudis terhadap sesuatu kaum ethnik bangsa dan agama terhadap mereka yang bukan berkulit putih. Bukan itu sahaja malah negara Malaysia sering dijemput untuk menjadi pemantau Pilihanraya di kebanyakkan negara ketiga di dunia.

Kelantangan Malaysia selama ini dalam menyuarakan dan menegakkan sistem demokrasi yang terbaik di rantau ini mahupun dunia, tidak lagi dapat disembunyi oleh para pemimpin negara ini yang selama ini hanya main wayang kulit dalam mengamalkan sistem demokrasi yang dicanangkan selama ini. Kecanggihan dan kecepatan teknologi yang sukar dibendung tentu sekali menjadi punca Malaysia, bukan lagi negara popular di kalangan dunia hari ini.

Mengimbau beberapa demonstrasi seperti Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 yang dilancarkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik yang berhaluan kiri, jelas menunjukkan bahawa rakyat sudah mula muak akan apa yang berlaku selama ini. Kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO kini tidak popular dan relevan dengan keadaan semasa. Mungkin adakah perjuangan mereka ini sudah terkeluar dari landasan perjuangan yang sebenar?. Mungkin juga kebongkakkan dan kesombongan pemimpin dalam Kerajaan itu sendiri, yang membuat rakyat sedar dan bangkit untuk mengubah kerajaan yang ada sekarang.

Kerajaan juga harus sedar demonstrasi jalanan yang berlaku di Ibu Negara Kuala Lumpur dan di beberapa bandar kecil, jangan sekali-kali cuba menterjemahkan demonstrasi itu hanya didalangi oleh pihak parti-parti pembangkang sahaja. Kalau kerajaan juga menganggap bahawa demonstrasi hanya dilakukan segelintir individu-individu seperti Ambiga, maka kerajaan telah gagal memahami denyutan jantung rakyat Malaysia yang sebenarnya.

Bilangan penyertaan ratusan ribu (anggaran 300,000 orang) dalam demonstrasi jalanan yang sepatutnya  diadakan di Dataran Merdeka secara aman, iaitu "Duduk dan Bantah" namun pihak Dewan Bandaraya dan Polis telah tidak meluluskan permohonan pihak penganjur, sehingga menyebabkan suasana demonstrasi itu telah  berubah sehingga tidak terkawal. Umum mengetahui bahawa demonstrasi tersebut hanya mau kerajaan berlaku adil dan transparen dalam Pilihanraya umum akan datang dan membersihkan nama-nama yang meragukan dalam senarai daftar pemilih  yang digunapakai dalam pilihanraya tersebut. Namun kerajaan menafikan hak rakyat disebabkan kerajaan kini dalam ketakutan untuk menghadapi pembangkang dan memberi hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baru.

Kerajaan kini dalam dilema  samada menangguh Pilihanraya sehingga masa yang sesuai atau tahun hadapan. Ini disebabkan kerajaan BN mula sedar bahawa rakyat sudah berani mencuba sesuatu yang baru, walaupun pada hakikatnya kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mentransformasikan pelbagai sistem (Ekonomi dan Kerajaan) yang sudah lapuk di negera ini dengan tujuan menambat hati rakyat supaya kembali kepangkuan BN untuk terus menyokong kerajaan dan pemimpin yang sedia ada. Ini diibaratkan seolah-olah menggantikan botol susu yang lama dengan membuat label baru, tetapi isi susu dalam botol tersebut masih susu yang lama. Kerana selagi para pemimpin dalam UMNO-BN tidak mentransformasikan minda dan persepsi dan prasangka  mereka terhadap bangsa dan agama rakyat Malaysia lain Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak, maka untuk membentuk bangsa Malaysia yang dinamik adalah sukar.

Kegagalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penubuhan Suruhanjaya Sasiatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) yang memperolehi dokumen secara songsang di Sabah, membuktikan penghinaan kepada rakyat bumiputera Sabah yang sudah sekian lama mau yang isu-isu PTI di Sabah harus ditangani dengan kadar segera. Pemimpin kompenan BN dari Sabah ( Tan Sri Dompok dan Datuk Seri Wilfred Bumburing) seringkali menyuarakan dan menuntut agar RCI ditubuhkan di Sabah, namun kelantangan mereka juga tidak ada impaknya kerana kurang mendapat sokongan dari rakan UMNO-BN yang dianggap banyak kebergantungan dengan pengundi dari golongan tersebut.

Pertambahan pengundi di beberapa negeri di Malaysia terutama sekali negeri-negeri di bawah kerajaan pembangkang telah meningkat secara drastik, namun telah dinafikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) atas sebab kempen secara agresif yang dijalankan oleh SPR telah membawa impak dan mempengaruhi kesedaran sebagai warganegara untuk mendaftar sebagai pengundi dalam amalan sistem demokrasi. Apa jua alasan yang diberikan oleh SPR menunjukkan sikap barat sebelah yang lebih memihak kerajaan BN ketika ini. Keraguan senarai daftar pemilih yang sudah dikenalpasti telah mengecewakan banyak pihak, kerana mengikut SPR hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja yang mempunyai kuasa untuk memadamkan nama mereka yang meragukan.

Kenyatan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed semasa menyampaikan syarahan di Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini yang menyangkal bahawa kerajaan BN tidak pernah melakukan penipuan dalam pilihanraya. Mungkin kenyataan Tun itu perlu kita bahas kebenarannya. Tun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan penipuan secara menyeluruh. Tun Mahathir lupa bahawa keperitan dan penderitaan rakyat Sabah alami dan kini berusaha untuk menentang ketidakadilan oleh pihak-pihak pro-kerajaan sehingga berlakunya projek IC di Sabah yang berleluasa yang sukar dibendung. Apakah ini bukan penipuan? Kerana agenda di sebalik projek IC adalah untuk merompak kuasa rakyat tulen negeri Sabah dari pihak-pihak tertentu yang ingin berkuasa melalui cara haram. Jika pendedahan seorang penulis yang bernama S. Mutalib sebagai fitnah atau pembohongan besar dalam tulisan buku beliau tentang "Projek IC di Sabah", kenapa beliau tidak didakwa?

January 17, 2012

SPR Jangan Tunduk Tekanan UMNO-BN

Melihat kepada senario Politik tanah air masakini ramai yang membuat ramalan bahawa pilihanraya umum ke 13 (PRU13)dijangka diadakan diantara bulan Mac hingga Jun 2012. Walau bagaimana pun umum mengetahui bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (PRU)merupa badan bebas, tetapi tidak bebas untuk melakukan perubahan yang jitu. Dengan alasan perlantikan Pengerusi SPR adalah atas budibicara dan sokongan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, yang diperkenaankan kepada DYMM Yang Dipertuan Agong. Maka pada hakikatnya SPR tunduk dengan tuan yang melantik mereka kejawatan tersebut.

Jika berlaku PRU13 diadakan secara mengejut, kerana Perdana Menteri mempunyai hak untuk memperkanankan DYMM YDP, agar Parlimen Malaysia dibubarkan sertamarta, maka pihak lain tidak dapat menghalang. Banyak kemungkinan - kemungkinan yang akan terjadi dalam waktu yang singkat ini untuk Parlimen dibubarkan. Krisis dalaman kepimpinan UMNO-BN kian menjadi-jadi tanpa disedari umum, dan ditambah lagi semangat parti pembangkang gabungan Pakatan Rakyat iaitu DAP, KeAdilan dan PAS kini bersemangat tinggi untuk menawan Putrajaya.

Apa yang kita lihat bahawa tugas Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) dan cadangan menubuhkan Suruhanjaya Diraja/Royal Commission Inquary (RCI)tidak akan kesampaian untuk dilaksanakan dalam masa yang terdekat ini. Walaupun pada dasarnya penggunaan dakwat semasa mengundi telah dipersetujui oleh SPR untuk digunapakai dalam PRU13, namun umum mengetahui laporan keseluruhan kedapatan PSC yang di Pengerusikan Datuk Seri Dr Maximus J Ongkili, hanya dapat dilangkapkan pada penghujung Mac 2012, dan dibentangkan di Parlimen sesi April 2012, kemungkinan akan terlepas untuk dilaksana, jika Parlimen bubarkan pada bila-bila masa dari sekarang.

Justeru, penubuhan RCI untuk menyiasat pertambahan penduduk di Sabah secara drastik dan penyiasatan pemilikan kad pengenalan palsu, hanya sebagai mimpi belaka sahaja,kerana UNMO-BN sekian lama berdolak-dalik untuk menyokong penubuhan RCI,disebabkan ia bertentangan dengan kepentingan mereka untuk mengekalkan kuasa di bumi Sabah ini.

SPR sepatutnya tidak mudah tunduk oleh mana-mana pihak termasuk UMNO-BN, untuk melaksanakan pilihanraya seadil-adilnya dan sebersih-bersihnya, jika SPR mahu dihormati oleh masyarakat yang menentukkan mandat kerajaan yang dipilih melalui peti undi. Kredibiliti SPR perlu dijaga, tanpa diganggu gugat atau dipengaruhi oleh siapa pun termasuk Perdana Menteri.

Saya melihat ada beberapa keperluan yang harus dilaksanakan oleh SPR untuk mempastikan pilihanraya dilaksanakan secara telus. Layanan parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya harus diberi kesaksamaan dan keadilan untuk menggunakan media massa, samada media eletronik iaitu TV dan radio, juga media cetak iaitu Akhbar- akhbar Prima, sepanjang calon-calon pilihanraya berkempen untuk diberi kebebasan menggunakan alat-alat tersebut, tanpa larangan untuk menunjukkan negara kita mengamalkan sistem demokratik.

Penglibatan kakitangan awam seperti guru-guru, Kemas, Jusa dan banyak lagi agensi-agensi utama kerajaan telah menjadi penggerak jentera BN dalam kempen pilihanraya, seharusnya dihentikan oleh SPR. Kerana setelah Parlimen dibubarkan kerajaan BN tidak berkuasa sama sekali untuk mengarah mana-mana penjawatan awam untuk membantu calon-calon BN, sehinggalah kerajaan baharu dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya. Pada dasarnya, tidak ada kerajaan apabila Parlimen dibubarkan, oleh itu penjawatan awamlah yang mentadbir kerajaan sementera.

Pengumuman projek kilat yang melibatkan jutaan ringgit untuk meraih undi semasa kempen pilihanraya oleh mana-mana parti yang bertanding tidak sepatutnya berlaku. SPR dan SPRM harus berkerjasama untuk mengenkang perbuatan rasuah yang sering berlaku setiap pilihanraya dilakukan.

Projek pembangunan telah dirancang dengan baik melalui bajet tahunan yang dibantangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan, mengikut keperluan rakyat dan negara bagi meningkatkan sosial ekonomi. Namun parti kompenan BN mengambil kesempatan untuk menyalahgunakan kuasa mereka dengan memancing undi dengan taktik meluluskan projek kilat, walaupun perbuatan tersebut rasuah politik.

January 12, 2012

RCI Kenapa Tidak Tubuh Sekarang?

Isu Penubuhan RCI (Royal Commission Inquary/Suruhanjaya Siasatan Diraja)bagi menyiasat kebanjiran Pendatang asing secara mendadak dan pemilikan kad pengenalan yang tidak sah di negeri Sabah, kini bergema lagi. Namun kali ini mengikut sumber-sumber yang dipercayai bahawa YB Datuk Seri Dr Maximus J Ongkili, yang dipertanggungjawabkan mempengerusi satu lagi Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC), mengatakan RCI akan dibincangkan selepas PRU13.

Desakan demi desakan oleh pemimpin kompenan BN dan juga Pembangkang di negeri ini untuk menubuhkan RCI segera, langsung tidak diambil peduli oleh kerajaan Persekutuan untuk bertindak adil terhadap Penduduk tulen negeri ini. Ini bermaksud Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Seri Najib Tun Razak, tidak dapat merasakan denyutan jantung rakyat Sabah yang inginkan keadilan yang saksama sebagai rakyat Malaysia seperti juga di Semananjung.

Kelantangan Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing,selaku Pengerusi Angkatan Merdeka Malaysia (Amanah) negeri Sabah, merengkap Ahli Parlimen Tuaran, yang menggesa agar RCI harus ditubuhkan sebelum PRU13 diadakan, hanya sia - sia belaka. Ini jelas menunjukkan bumiputera tulen Sabah telah tewas dalam menidakkan usaha seorang individu yang belum jelas kesahsihan kerakyatan sebagai warganegara Malaysia seperti Datu Akjan Mohd Ali, yang membantah penubuhan RCI.

Dalam isu penubuhan RCI,telah memperlihatkan kedunguan dan kebaculan sebilangan pemimpin pro kerajaan BN di negeri ini, yang tidak ada usaha untuk mendesak kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri Malaysia, supaya RCI harus dilaksanakan untuk menjamin hak rakyat negeri ini sentiasa terbela dan terpelihara. Sepatutnya awal - awal lagi Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan cadangan ini supaya dibawa ke parlimen untuk dibahaskan, tetapi Speaker Dewan juga menolak desak pembangkang.

Rakyat Sabah perlu bangkit dalam PRU13 akan datang ini untuk membuat perubahan, samada mereka yang menganggotai parti pembangkang mahupun yang pro kerajaan BN bersatu untuk menunjukkan undi protes kepada pemimpin kita. Rakyat tulen Sabah, tidak perlu mengambil masa lama untuk berfikir untuk menentukan kerajaan yang bersih. Jangan kita mudah terpengaruh dengan propaganda yang menimbulkan sentimen agama dan perkauman,kerana pemimpin BN hanya mempertahankan kepentingan diri mereka semata-mata, tanpa melihat apa yang terjadi dengan anak cucu cicit kita dua puloh tahun akan datang.

Jika kerajaan Persekutuan adil kepada rakyat dinegeri ini, kenapa tidak menubuhkan RCI Sekarang?. Kompenan BN dinegeri ini perlu memikirkan kedudukan mereka dalam sekutu BN , jangan sampai rakyat mencampakkan mereka dari atas kerusi ampuk dalam PRU13. Jangan terlalu taksub dengan berita dikaca TV semata-mata atau media pro BN, tetapi perlu mendengar berita dari mulut ke mulut dari orang di sebarang tentang angin perubahan.

January 05, 2012

Kenapa UMNO Sabah Lambat Membuat Pendirian Isu RCI?

Kenyataan YB Datuk Sapawi Haji Ahamd ,Ketua Penerangan Perhubungan UMNO Sabah merangkap Ahli Parliman Sipitang berhubung pendirian UMNO Negeri Sabah keatas Penubuhan RCI (Royal Commission of Inquiry/Suruhanjaya Siasatan Diraja) amat ditunggu-tunggu oleh majoriti Penduduk tulen negeri Sabah, yang ingin melihat para pimpin kanan UMNO menyatakan sokongan mereka atas Penubuhan RCI.

Keceluparan rakan-rakan kompenan BN seperti UPKO,PBS,LDP,PBRS dan disokong parti-parti pembangkang dinegeri ini, yang mendesak kerajaan Persekutuan menubuhkan RCI bagi menyiasat pertambahan penduduk negeri Sabah yang drastik dan pemilikan IC secara tidak sah, telah menyebabkan UMNO Sabah macam cacing kepanasan,samada menyokong atau sebaliknya Penubuhan RCI ini.

Penentangan Datu Akjan Ali mantan penghuni ISA merengkap Presiden Pekida yang tidak menyokong penubuhan RCI, telah menjadi persoalan kepada majoriti rakyat tulen negeri ini, akan agenda disebalik penentangan beliau berhubung isu Penubuhan RCI. Yang peliknya Datu Akjan mengambarkan, jika penubuhan RCI diteruskan, maka ketegangan kaum dan agama akan berlaku dinegeri ini. Kenyatan Datu Akjan Ali dalam isu ini merupakan ancaman dan hasutan yang tidak diambil kisah oleh pihak berkuasa, terutama sekali Kementerian Halehwal dalam Negeri.

Menyorot kembali dalam persidangan terakhir Dewan Undangan Negeri Sabah 2011, dimana Speaker Dewan Datuk Seri Salleh B. Tun Said Keruak, telah menolak usul dari wakil pembangkang supaya penubuhan RCI perlu dibahas. Walaubagai manapun malang sekali anggota penyokong-penyokong kerajaan dalam dewan yang mulia itu terus membisu, sehingga Speaker Dewan menolak mentah-mentah usul tersebut.

Kebaculan para pemimpin politik Sabah berhubung penubuhan RCI ini amat ketera sekali. Justeru, apa pun tindakan individu seperti Datu Akjan Ali, dengan pertubuhan Pekida, yang sama dengan YB Datuk Ibrahim Ali dengan menggunakan Perkasa, kononnya mempertahankan hak rakyat dinegara ini, tetapi jelas menunjukkan kepada rakyat bahawa pertubuhan ini sebagai kuda tunggangan pihak-pihak tertentu untuk melakukan provokasi kepada kaum lain dinegera ini.

Berhubung dengan penubuhan RCI dinegeri Sabah, Sepatutnya UMNO negeri ini perlu mendahului rakan-rakan kompenan BN lain untuk menyokong secara terbuka supaya penubuhan RCI ini disegerakan sebelum menjelang PRU13. Sebagai pemimpin yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat negeri ini setiap PRU diadakan, adalah bijak wakil rakyat lantang bersuara untuk mempertahankan hak rakyat demi kesejetheraan dan keselamatan rakyat yang diwakili mereka dinegeri ini. Jangan sekali-kali menjual hak rakyat untuk kepentingan diri sendiri.

Kegagalan UMNO Sabah menyatakan pendirian parti tersebut untuk melindungi dan mempertahan hak rakyat Sabah kini dipersoalkan. Suara-suara sumbang secara senyap dikalangan pemimpin UMNO sendiri kian kedengaran. Adakah PRU13 ini, merupakan kejutan kepada pemimpin atau rakyat?. Kita juga menyaksikan golongan muda kini berani menyuarakan pendirian mereka. Semakin golongan-golongan tertentu ditekan semakin beranilah mereka inginkan perubahan jitu.@Amanah.my
 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved