September 29, 2010

Mengapa Sekolah Menengah Telipok Yang Baru Masih Belum Dibina Lagi?

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran Malaysia meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membina dua buah sekolah di kawasan Kota Marudu sangat-sangat dialukan. Ini merupakan satu kejayaan ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Dr Maximus J Ongkili yang berusaha melihat keperluan mendesak bagi penduduk luar bandar yang diwakili beliau.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan Persekutuan kini begitu sensitif tentang masalah Pendidikan yang dihadapi oleh rakyat Sabah. Pendidikan merupa salah satu teras kemajuan pembangunan minda maupun fizikal sesebuah masyarakat. Tanpa Pendidikan kita tidak dapat melihat kemajuan sesebuah masyarakat samada dalam aspek ekonomi, politik maupun sosial. Melihat beberapa pembinaan Sekolah di seluruh negeri Sabah pada masa ini, kita harus bersyukur bahawa dari hari ke hari jelas menunjukkan Sabah tidak jauh ketinggalan dari segi rupa bangunan Sekolah yang dibina seakan-akan hotel bertaraf lima bintang. Apa yang menyedihkan kita ketika ini, cuma kesedaran Pendidikan ibubapa terhadap masa depan anak-anak mereka masih rendah terutama sekali kepada masyarakat yang diluar bandar.

Dalam isu Pendidikan di negeri Sabah, masih banyak lagi isu yang perlu kita perdebatkan terutama sekali dari segi proses pembinaan bangunan Sekolah tersebut. Adakalanya Sekolah itu dibina tidak menepati sasaran yang betul sehingga satu pembaziran wang yang begitu besar. Sebagai contoh kemungkinan di sekolah Menengah Sri Nangka Tuaran, masih banyak bilik darjah tidak digunakan disebabkan bilangan pelajar yang sedikit. Dan kedengaran bisikan dari beberapa warga pendidik mengatakan terdapat beberapa buah bilik darjah Sekolah di Sabah telah tidak digunakan sepenuhnya atau masih kosong disebabkan masalah bilangan pelajar yang rendah.

Apa yang menarik perhatian saya berhubung isu pembinaan Sekolah di Sabah adalah mungkin pihak Kementerian terlepas pandang dimana ada setengah tempat memerlukan bangunan Sekolah yang baru, sebagai contoh Sekolah Menengah Telipok yang terletak tidak jauh dari pusat bandar, tetapi dalam keadaan yang usang. Bukan itu sahaja pusat sumber yang digunakan oleh pelajar untuk mentalah pelajaran juga tidak selesa menyebabkan ramai pelajar mempunyai motivasi yang rendah. Sebenarnya mengikut maklumat dari warga pendidik yang sudah lama bertugas di Sekolah tersebut, sememangnya terdapat tapak yang baru dan sudah pun ditimbus 10 tahun yang lalu, dan kononnya peruntukan sudah pun diumumkan. Tetapi sehinggalah hari ini, masih belum lagi khabar berita tentang pembinaan bangunan Sekolah tersebut samada diteruskan atau sebaliknya.

September 28, 2010

Menara Jam Atkinson Harus Diwartakan

Pertelingkahan antara Datuk Rubin Balang dan Datuk Masidi Manjun berhubung isu pembinaan hotel 15 tingkat dan permis perniagaan berhampiran menara jam Atkison berusia 102 tahun, kini menarik perhatian umum. Dari segi fakta yang dinyatakan oleh Datuk Rubin bahawa pihak LPBB dan pemaju projek yang mana mendapat restu dari pihak Muzium (Mantan Pengarah) tidak dinafikan. Walau bagaimana pun, setiap agensi yang terlibat memberi kelulusan adalah bergantung kepada budibicara seseorang tanpa mengambil kira kepentingan dan implikasinya kepada masyarakat awam.

Apa yang menarik berhubung dengan isu ini adalah, dimana semua agensi dibawah Kementerian kerajaan Tempatan dan Perumahan seperti DBKK dan LPBB, telah memberi hujah yang lebih berat menyokong projek ini diteruskan. Manakala mengikut laporan EIA dan kenyaatan pihak Muzium bertentangan dengan idea projek ini. Ini disebabkan Menara jam Atkinson merupakan bahan sejarah yang satu-satu peninggalan penjajah masih kekal di bandar Kota Kinabalu, sementara bagi pihak EIA pula berusaha mengekalkan keaslian Alam.

Persoalan yang timbul dalam kehangatan isu yang dipaparkan melalui media adalah kelulusan oleh pihak tertentu sebelum ini dianggap tidak sah atau batal. Maka kita tidak menafikan bahawa pihak Muzium dan EIA berhak meneliti beberapa perkara demi kepentingan awam samada menolak atau menerima projek ini diteruskan.

Ramai yang berpendapat, jika sekiranya projek ini diteruskan, maka gangguan persekitaran Menara jam akan berlaku kerana jarak yang hanya beberapa meter dari projek yang dirancang. Mungkin LPBB berpendapat ia mempunyai hak membangunkan tanah milik mereka supaya tidak terbiar atau dari segi nilai komersial yang tinggi jika tidak dibangunkan, maka kerugian besar dari segi harta akan berlaku. Walau apa pun alasan mereka untuk menaruskan projek ini, saya kira masih banyak perkara yang perlu diambil kira.

Kita sepatutnya menghentikan usaha-usaha setengah pihak yang cuba memperkosakan alam sekitar yang menghijau dan meruntuhkan lereng bukit yang indah untuk kepentingan mana-mana pihak pun. Sebenarnya untuk menarik pelancong kebumi Sabah ini bukan dengan membina bangunan - bangunan tinggi melangit, tetapi mengujudkan persekitaran yang mesra. Tidaklah keterlaluan bahawa tibalah masanya bandar Kota Kinabalu ini berkonsepkan bandar dalam taman, supaya udara yang dihidu pun bersih.

Dengan demikian saya fikir para pemimpin politik dan kerajaan perlu memikirkan kepentingan masyarakat daripada menjaga kepentingan diri samada secara langsung atau tidak langsung. Kalaulah projek ini masih diteruskan tanpa persetujuan dari mana-mana agensi yang menilai kesahsihan projek ini, maka pihak SPRM harus campurtangan dalam penelitian setiap dokumen projek tersebut. Maka adalah wajar menara jam Atkison perlu diwartakan sebagai tapak sejarah.

September 22, 2010

Mampukah PKR Menawan Sabah PRU13?

Melihat kepada senario politik di Sabah masakini, tidaklah keterlaluan untuk memperkatakan bahawa masih banyak lagi ruang yang perlu diperkemaskan dari segi strategi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menawan Sabah dalam PRU ke 13 akan datang.

Berbicara tentang kemampatan kepemimpinan peringkat negeri khususnya Sabah, ternyata mereka tidak mempunyai haluan untuk membawa parti tersebut untuk berperang dengan sengit untuk menghadapi BN yang mempunyai gandingan utuh. Walau pun terdapat sedikit gangguan dalaman namun ia ditangani dengan baik.

Kebarangkalian untuk Pakatan Rakyat (PR )menawan Sabah masih dianggap jauh panggang dari api. Kemungkinan adapun kerusi yang bakal mereka menangi nanti hanya terdapat di bandar-bandar besar, kerana rakyat di luar bandar masih haus dengan pembangunan yang telah dirancang rapi oleh BN, yang semakin memperlihatkan kemampuan mereka melayan kehendak rakyat diluar bandar.

Kepimpinan kompenan BN peringkat negeri juga begitu terserlah untuk menjadi juara rakyat melalui perancangan pembangunan yang strategik dalam usaha menarik keyakinan rakyat untuk memberi sokongan padu dalam PRU akan datang.

Banyak tanda-tanda yang kita lihat menunjukkan PKR semakin rapuh untuk menghadapi tekanan dalaman, terutama sekali proses pemilihan ketua bahagian kini berlaku ketidaktelusan dalam sistem pengundian, yang menyebabkan adanya kem-kem yang tidak puashati dalam pemilihan tersebut.

Justeru, kedengaran dari kem yang kalah mengatakan berlakunya politik wang, dan juga wujudnya perwakilan yang tidak sepatutnya mengundi mana-mana calon sekali pun. Kegagalan membentuk satu gandingan yang mantap dengan parti lokal seperti SAPP dan Bersekutu yang cenderung kepada perjuangan kenegerian, juga merupakan penyebab mengapa PR tidak kukuh.

Perebutan dalam barisan kepimpinan samada peringkat kebangsaan dan negeri kian memuncak, ini menunjukkan mereka hilang fokus dalam misi untuk menakluk negeri Sabah. Jika kita lihat senario yang berlaku sekarang, tidak dinafikan adanya politik cantas mencantas dikalangan mereka sehinggalah ke penyokong akar umbi.

Perebutan ketua bahagian dikawasan Sook juga bakal menyaksikan Datuk Dr Jeffery Kitingan akan dicabar dalam pertandingan tiga penjuru, yang mana kita andaikan bahawa ada usaha mengenepikan beliau untuk memainkan peranan penting dalam barisan kepimpinan PKR.

September 21, 2010

Keterbukaan Minda Kunci Perpaduan

Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak kepada para Penjawat Awam, bahawa keterbukaan minda merupakan kunci perpaduan rakyat harus diterima dengan baik oleh semua pihak. Gagasan 1Malaysia perlu dihayati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira asal usul maupun agama di negara ini. Setiap rakyat yang mendiami negara ini generasi ke generasi tidak perlu lagi dipersoalkan tentang kesetiaan mereka dalam usaha bersama untuk membangunkan negara kita Malaysia yang tercinta.

Malaysia sudah merdeka 53 tahun lalu, Sabah dan Sarawak bersama membentuk negara Malaysia 47 tahun. Tetapi, kebelakangan ini masih lagi kedengaran isu-isu sensentif yang berunsur bangsa dan agama sering ditimbulkan oleh sekelompok kecil mereka yang terlalu sempit cara pemikiran mereka. Sepuluh tahun dari sekarang negara kita akan sampai ke Visi 2020 yang diasaskan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed, bakal menyaksikan negara kita akan melonjak ke sebuah negara industri.

Apa yang membimbangkan kita dewasa ini kebanyakan tindakan dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dilontarkan melalui media-media adalah dari para pemimpin yang cuba mengambil publisiti murahan untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan impaknya terhadap masyarakat keseluruhannya. Rakyat yang sudah muak dengan tingkah laku sekelompok kecil pemimpin ini akhirnya menolak mereka dan juga kerajaan yang diwakili.

Pada dasarnya niat Perdana Menteri kita ikhlas dalam membangun negara ini tanpa mengira isu-isu kenegerian yang ditimbulkan. Walau bagaimana pun Perdana Menteri terpaksa akur dalam sebarang keputusan, kerana beliau dikelilingi mereka-mereka yang berpandangan ekstrim terhadap sesuatu isu untuk kepentingan kelompok tertentu.

Untuk mentransfomasikan sesebuah kerajaan, sebenarnya tidaklah sebegitu payah jika semua masyarakat menerima hakikat bahawa setiap rakyat Malaysia yang sudah menetap di negara ini sekurang-kurang generasi yang ketiga kecuali pendatang tanpa izin dan pemilik kad pengenalan melalui pintu belakang, juga telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kearah pembangunan ekonomi sehinggalah kita sampai ketahap yang dibanggakan sekarang. Para pemimpin dari setiap lapisan masyarakat harus berubah terlebih dahulu sebelum memaksa rakyat untuk berubah, kerana setiap saranan atau ungkapan pemimpin tertentu akan mempengaruhi sesuatu keputusan.

September 14, 2010

Penganugerahan Darjah Kebesaran Perlu Diteliti Semula

Kebelakangan ini terlalu banyak perkara yang melibatkan mereka yang bergelar Tun, Tan Sri dan Datuk dalam pelbagai kes jenayah. Bukan itu saja malahan kes rasuah dan penipuan kian berleluasa. Apa yang menghairankan kita ramai mereka ini berusia 40an, entah apa - apalah sumbangan mereka ini. Bila sudah dua tiga tahun memegang jawatan CEO atau ketua sebuah syarikat milik mereka sendiri, tak lama lagi ada sudah gelaran mereka. Yang sedihnya ada dikalangan penjawat awam yang berkhidmat sehingga bersara dalam perkhidmatan pun tidak semudah untuk dihargai jasa mereka.

Sepatutnya pihak yang berwajib yang diberi mandat untuk menapis senarai mereka yang layak untuk dianugerahkan darjah kebesaran, samada peringkat Negeri maupun Persekutuan perlu berhati-hati dalam pemilihan ini. Apa yang merisaukan kita, gelaran ini telah digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mereka mengabui mata orang awam sehingga terlibat dalam perbuatan yang keji dan kejam yang tidak dapat diterima oleh masyarakat.

Secara peribadi penganugerahan ini perlu dihadkan kepada bilangan yang kecil setiap tahun, agar kedudukan mereka yang bergelar tertinggi sentiasa dihormati dan disegani oleh masyarakat. Saya juga mencadangkan agar mereka yang sudah berkhidmat dalam apa saja organisasi samada badan-badan NGO termasuk penjawat awam yang sudah bersara layak disenaraikan dan bagi orang-orang politik yang berjawatan YB tidak kurang 10 tahun perkhidmatan mereka kepada masyarakat. Kerana integriti para pemegang gelaran ini haruslah dijaga, supaya mereka tidak dipandang hina oleh masyarakat sekeliling.

Bagi sektor korporat, walaupun mereka mungkin memberi sumbangan berjuta-juta ringgit dengan niat, kita tidak semestinya membalas sumbangan itu dengan pemberian anugerah sedangkan kita tidak meneliti latarbelakang dan keikhlasan seseorang individu tertentu.

Walau bagaimana pun kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang telah mengarahkan pegawai Istana untuk melaporkan seorang individu kepada pihak SPRM yang cuba memberi hadiah Hari Raya kepada kerabat Diraja Istana Johor sebanyak RM1 juta, kononnya hadiah duit raya, tetapi Duli Yang Maha Mulia Sultan menganggap ianya satu penghinaan kepada Istana sempena menyambut hari yang begitu mulia ini.

September 06, 2010

Mengekalkan Datuk Peter Pang Jawatan Kabinet Tidak Rasional

Keputusan Datuk Seri Musa Aman selaku Ketua Menteri Sabah untuk mengekalkan Datuk Peter Pang dalam kabinet beliau, setelah mengumumkan keluar dari parti LDP baru-baru ini adalah tidak rasional. Sememangnya kita akui bahawa Ketua Menteri mempunyai kuasa dan budi bicara untuk membuat keputusan tanpa nasihat dari mana-mana pihak. Walau bagaimana pun suasana politik tanah air masakini tidak memungkinkan beliau mengambil langkah drastik tanpa melihat sensetiviti kompenan BN lain.

Adalah wajar membiarkan jawatan yang dipegang Datuk Peter Pang dikosongkan untuk menenangkan suasana buat sementara waktu.Lagi pun Datuk Peter Pang tidak lagi mempunyai parti untuk mengizinkan beliau terus memegang sebarang jawatan kabinet. Banyak perkara yang kita boleh persoalkan tentang kedudukan beliau, jika kedudukan tidak berubah. Salah satu alasan mengapa Datuk Peter Pang tidak boleh meneruskan khidmat sebagai menteri kabinet?, parti LDP tidak meninggalkan kompenan BN, hanya beliau keluar parti.

Jika pun beliau ingin menyertai parti yang berasaskan parti semenanjung (Gerakan), maka beliau tidak layak mewakili kouta Cina dan tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, kerana parti yang berasakan tempatan sepatutnya yang akan memegang jawatan tersebut. Sikap tidak menghormati perasaan rakan dalam BN juga sudah semestinya faktor diambil kira dan perlu mendapat pandangan dari semua kompenan BN.

Kalau budaya politik yang diamalkan oleh sebahagian kecil ahli parti BN tidak diperbetulkan, maka akibatnya BN akan menjadi parti "rojak", bukan LDP menjadi parti "rojak" sepertimana yang dilebalkan oleh Datuk Ghapur Salleh sebelum ini.Kerana segelintir pemimpin BN cuba menghalalkan budaya politik menerima ahli dengan mudah atau secara langsung dikalangan BN bertukar parti dalam kompenan itu sendiri, tanpa merujuk dikalangan kompenan lain, dimasa akan datang jangan salahkan sesiapa jika perbuataan ini akan berulang.

September 01, 2010

Adakah LDP Mengikut Jejak SAPP?

Tidak dinafikan ada setengah pemimpin sanggup mempertahankan ketuanya walau dalam apa keadaan sekali pun. Soal termakan budi tidak lagi menjadi satu ikatan untuk terus menyokong prinsip perjuangan parti dan Presiden parti yang telah memberi tempat istimewa bagi seseorang pengikut setia.

Keputusan Datuk Peter Pang keluar dari LDP untuk menyertai GERAKAN bukan satu kejutan kepada pemerhati politik di negeri ini. Sebelum ini pun Datuk Raymond Tan bekas pemimpin kanan SAPP, juga tidak setuju dengan bossnya Datuk Yong Teck Lee, lalu menyertai GERAKAN. Istilah politik bolehlah kita takfirkan bermacam-macam, ada yang kata mereka ini hanya cuba menyelamatkan periuk nasi, dan banyak lagi alasan lain. Tetapi yang tidak pasti, samada penyokong akar umbi akan terus menyokong mereka ini, hanya pilihanraya akan datang akan menjawabnya.

Saya fikir soal mengkritik Pengerusi BN negeri juga selaku Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman oleh pemimpin LDP secara terbuka, bukan lah perkara baru dalam arena politik. Saya masih ingat dimana Tan Sri Leo Moggi semasa beliau menjadi Presiden parti PBDS (Parti Bangsa Dayak Sarawak) tidak menyokong kepimpinan negeri Tan Sri Datuk Amar Taib Mahmod selaku Ketua Menteri Sarawak, tetapi menyokong kepimpinan di peringkat Persekutuan, dan beliau telah memegang jawatan sebagai Menteri Persekutuan ketika itu sehingga beliau bersara, kini menjawat jawatan terpenting dalam syarikat GLC.

Sebagai pemerhati politik di negeri ini, saya menyarankan supaya kita melihat suasana politik Sabah yang kian bergelora ini dengan fikiran terbuka tanpa menyalahkan mana-mana pihak. Setiap penyokong dan ahli setia parti sudah semestinya kita mempertahankan Ketua kita, begitu juga jika Datuk Seri Musa Aman dihentam secara terbuka oleh pihak lain pasti penyokong UMNO akan tampil kehadapan untuk mempertahankan beliau, walau apa pun yang dihadapi. Begitu juga keadaannya dengan Datuk Chin Shu Phin selaku Timbalan Presiden parti LDP yang sentiasa setia bersama bekas boss Tan Sri Chong Kah Kiat. Tetapi yang jelas kemasukan parti bukan bumiputera dari Semananjung ke Sabah dengan mudah tanpa menunggu pembahagian kerusi dalam pilihanraya akan datang.
 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved