September 28, 2010

Menara Jam Atkinson Harus Diwartakan

Pertelingkahan antara Datuk Rubin Balang dan Datuk Masidi Manjun berhubung isu pembinaan hotel 15 tingkat dan permis perniagaan berhampiran menara jam Atkison berusia 102 tahun, kini menarik perhatian umum. Dari segi fakta yang dinyatakan oleh Datuk Rubin bahawa pihak LPBB dan pemaju projek yang mana mendapat restu dari pihak Muzium (Mantan Pengarah) tidak dinafikan. Walau bagaimana pun, setiap agensi yang terlibat memberi kelulusan adalah bergantung kepada budibicara seseorang tanpa mengambil kira kepentingan dan implikasinya kepada masyarakat awam.

Apa yang menarik berhubung dengan isu ini adalah, dimana semua agensi dibawah Kementerian kerajaan Tempatan dan Perumahan seperti DBKK dan LPBB, telah memberi hujah yang lebih berat menyokong projek ini diteruskan. Manakala mengikut laporan EIA dan kenyaatan pihak Muzium bertentangan dengan idea projek ini. Ini disebabkan Menara jam Atkinson merupakan bahan sejarah yang satu-satu peninggalan penjajah masih kekal di bandar Kota Kinabalu, sementara bagi pihak EIA pula berusaha mengekalkan keaslian Alam.

Persoalan yang timbul dalam kehangatan isu yang dipaparkan melalui media adalah kelulusan oleh pihak tertentu sebelum ini dianggap tidak sah atau batal. Maka kita tidak menafikan bahawa pihak Muzium dan EIA berhak meneliti beberapa perkara demi kepentingan awam samada menolak atau menerima projek ini diteruskan.

Ramai yang berpendapat, jika sekiranya projek ini diteruskan, maka gangguan persekitaran Menara jam akan berlaku kerana jarak yang hanya beberapa meter dari projek yang dirancang. Mungkin LPBB berpendapat ia mempunyai hak membangunkan tanah milik mereka supaya tidak terbiar atau dari segi nilai komersial yang tinggi jika tidak dibangunkan, maka kerugian besar dari segi harta akan berlaku. Walau apa pun alasan mereka untuk menaruskan projek ini, saya kira masih banyak perkara yang perlu diambil kira.

Kita sepatutnya menghentikan usaha-usaha setengah pihak yang cuba memperkosakan alam sekitar yang menghijau dan meruntuhkan lereng bukit yang indah untuk kepentingan mana-mana pihak pun. Sebenarnya untuk menarik pelancong kebumi Sabah ini bukan dengan membina bangunan - bangunan tinggi melangit, tetapi mengujudkan persekitaran yang mesra. Tidaklah keterlaluan bahawa tibalah masanya bandar Kota Kinabalu ini berkonsepkan bandar dalam taman, supaya udara yang dihidu pun bersih.

Dengan demikian saya fikir para pemimpin politik dan kerajaan perlu memikirkan kepentingan masyarakat daripada menjaga kepentingan diri samada secara langsung atau tidak langsung. Kalaulah projek ini masih diteruskan tanpa persetujuan dari mana-mana agensi yang menilai kesahsihan projek ini, maka pihak SPRM harus campurtangan dalam penelitian setiap dokumen projek tersebut. Maka adalah wajar menara jam Atkison perlu diwartakan sebagai tapak sejarah.

People who read this post also read :



0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved