Kebelakangan ini terlalu banyak perkara yang melibatkan mereka yang bergelar Tun, Tan Sri dan Datuk dalam pelbagai kes jenayah. Bukan itu saja malahan kes rasuah dan penipuan kian berleluasa. Apa yang menghairankan kita ramai mereka ini berusia 40an, entah apa - apalah sumbangan mereka ini. Bila sudah dua tiga tahun memegang jawatan CEO atau ketua sebuah syarikat milik mereka sendiri, tak lama lagi ada sudah gelaran mereka. Yang sedihnya ada dikalangan penjawat awam yang berkhidmat sehingga bersara dalam perkhidmatan pun tidak semudah untuk dihargai jasa mereka.
Sepatutnya pihak yang berwajib yang diberi mandat untuk menapis senarai mereka yang layak untuk dianugerahkan darjah kebesaran, samada peringkat Negeri maupun Persekutuan perlu berhati-hati dalam pemilihan ini. Apa yang merisaukan kita, gelaran ini telah digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mereka mengabui mata orang awam sehingga terlibat dalam perbuatan yang keji dan kejam yang tidak dapat diterima oleh masyarakat.
Secara peribadi penganugerahan ini perlu dihadkan kepada bilangan yang kecil setiap tahun, agar kedudukan mereka yang bergelar tertinggi sentiasa dihormati dan disegani oleh masyarakat. Saya juga mencadangkan agar mereka yang sudah berkhidmat dalam apa saja organisasi samada badan-badan NGO termasuk penjawat awam yang sudah bersara layak disenaraikan dan bagi orang-orang politik yang berjawatan YB tidak kurang 10 tahun perkhidmatan mereka kepada masyarakat. Kerana integriti para pemegang gelaran ini haruslah dijaga, supaya mereka tidak dipandang hina oleh masyarakat sekeliling.
Bagi sektor korporat, walaupun mereka mungkin memberi sumbangan berjuta-juta ringgit dengan niat, kita tidak semestinya membalas sumbangan itu dengan pemberian anugerah sedangkan kita tidak meneliti latarbelakang dan keikhlasan seseorang individu tertentu.
Walau bagaimana pun kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang telah mengarahkan pegawai Istana untuk melaporkan seorang individu kepada pihak SPRM yang cuba memberi hadiah Hari Raya kepada kerabat Diraja Istana Johor sebanyak RM1 juta, kononnya hadiah duit raya, tetapi Duli Yang Maha Mulia Sultan menganggap ianya satu penghinaan kepada Istana sempena menyambut hari yang begitu mulia ini.
0 comments:
Post a Comment