October 07, 2010

Sipitang Kini Sedang Membangun

Kita tidak boleh nafikan bahawa Pembangunan di Sipitang hari ini jauh lebih baik, jika dibandingkan 30 tahun lalu. Sebagai anak tempatan Sipitang saya tidak pernah ketinggalan untuk melihat perubahan wajah Daerah Sipitang dari masa ke semasa atas tampias arus pembangunan negeri Sabah yang kian berkembang maju.

Apa pun alasan sebahagian kecil pendapat sesetengah pemimpin pihak lain yang mempersoalkan bahawa kedua-dua YB kita, atas kemampuan mereka menjadi wakil rakyat selama ini, namun kita perlu juga mengimbas kembali, apakah yang telah dilakukan oleh mantan pemimpin era USNO, BERJAYA, PBS dan kini BN yang ditunggakkan oleh UMNO. Saya percaya ramai yang bersetuju Sipitang sedang membangun. Tetapi kita tidak semestinya meletakkan sepenuhnya ke atas bahu wakil rakyat kita semata-mata, kerana sokongan rakyat perlu dimantapkan lagi demi pembangunan daerah ini tanpa ada perasaan cemburu.

Soal siapa yang mendapat kontrak dalam melaksanakan pembangunan yang bakal dilaksanakan itu bukanlah menjadi isu utama yang perlu dibangkitkan oleh mereka yang tidak berpuashati dengan pembangunan yang ada sekarang. Secara peribadi, apa yang harus dilakukan oleh wakil rakyat kita adalah melaksanakan pembangunan yang seimbang kepada semua suku kaum, kampung-kampung di daerah Sipitang tanpa mengambil kira samada mereka itu penyokong BN atau tidak sebelum ini. Kerana dasar yang kita laksanakan itu bukanlah dasar individu atau sesuatu pihak sahaja, tetapi ia merupakan dasar kerajaan dimana rakyat telah memberi mandat melalui proses demokrasi supaya wakil yang dipilih dapat melaksana tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

Selepas kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan pada tahun lalu, kini Program Transformasi Ekonomi yang berpaksikan model ekonomi baru yang lebih mengenalpasti beberapa sumber atau industri dari pelbagai sektor sebagai enjin untuk menggerakkan ekonomi negara kita supaya lebih kompetatif. Maka sekali lagi Daerah Sipitang bakal mendapat tampias hasil transformasi yang berlaku. Pengumuman kerajaan untuk membina sebuah industri baja urea di Kuala Mengalong melalui syraikat Nasional iaitu Petronas akan memberi peluang pekerjaan lebih banyak disamping peluang perniagaan berskala kecil kepada penduduk tempatan. Pembesaran kilang pulpa Sabah Forest Industri juga bakal menambah peluang pekerjaan yang sedia ada. Cuma masyarakat tempatan perlu lebih aggresif untuk merebuat peluang yang akan terhidang dihadapan mata mereka dalam masa yang begitu singkat akan datang ini.

Kita tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah setengah pihak yang cuba menangguk di air keruh atau pun menghabis masa kita berbual-bual kosong di kedai kopi tanpa bertindak. Walaubagai manapun kita harus mendesak kedua-dua wakil rakyat supaya lebih lantang bersuara untuk menuntut peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang berkelayakan dan memampu menjalankan tugas yang diamanahkan. Cuba kita lihat apa yang berlaku di Sabah Forest Industri (Balphur), di mana anak tempatan kita? Ramai pengurus-pengurus yang berkerja dalam syarikat ini bukan anak tempatan. Salahkah mengambil anak tempatan yang berkelayakan untuk menjawat jawatan dalam syarikat ini?. Kita tidak mahu peluang yang sedia ada, kita terlepas pandang. Jika perkara ini tidak diambil kira, maka sia-sialah daerah ini memiliki industri gergasi seperti ini.
 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved