December 10, 2010

Pembangkang Sabah Kurang Menyengat

Walaupun banyak ramalan bahawa Pilihanraya umum bakal diadakan serentak dengan negeri bumi kenyalang yang dijangka pada Mac atau April tahun depan, melihat senario politik negeri bumi di bawah bayu, jelas menunjukkan parti pembangkang tidaklah sehebat mana seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak dengan kata lain kurang menyengat. Mungkin mereka kini ketandusan idea-idea atau strategi untuk mengenakan kerajaan BN sekarang.

Usaha murni Perdana Menteri Dato' Seri Najib memperkenalkan beberapa kaedah atau program untuk mengambalikan keyakinan rakyat untuk menyokong kerajaan pempinan beliau kini diterima dengan baik. Gagasan 1Malaysia, Program Tranformasi samada kerajaan dan ekonomi begitu juga model ekonomi baru, telah memperlihatkan satu lagi anjakan minda yang harus disokong oleh rakyat supaya negara kita boleh bersaing diperingkat global.

Impian pembangkang untuk merampas Sabah dari kerajaan BN dalam pilihanraya umum akan datang semakin pudar. Secara peribadi saya membuat kesimpulan bahawa pakatan parti pembangkang di Sabah terlalu longgar. Ini disebabkan setiap parti pembangkang di Sabah cuba menonjolkan pengaruh mereka masing-masing tanpa mempunyai gabungan yang utuh untuk menumbangkan kerajaan yang sedia ada. Sebagai contoh pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi baru-baru ini, telah terbukti PKR dan SAPP tidak sehaluan sehingga kedua-dua calon yang mewakili parti masing-masing bercakaran atau tuduh menuduh diantara satu sama lain. Dan peluang ini telah diambil sebaik mungkin oleh BN untuk melaksanakan agenda mereka tanpa berkerja membenteng tulang untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Alasan yang kedua, adalah PKR di Sabah seolah-olah tidak mempunyai kapten untuk mengemudi parti tersebut untuk menyakinkan rakyat bahawa mereka mampu membentuk kerajaan negeri akan datang. Sejak DS Zaid Ibrahim mengumumkan beliau terpaksa meninggalkan PKR, disebabkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti DS Anwar Ibrahim, telah memberi impak kepada Dtk Dr Jeffery Kitingan samada meneruskan perjuangan bersama PKR atau sebaliknya. Pada hakikatnya, bahawa Dr Jeffery masih kurang senang terhadap tingkah laku DS Anwar yang kononnya banyak berjanji tetapi tidak dapat melaksanakan permintaan Dr Jeffery termasuk DS Anwar enggan menandatangani Deklarasi Tambunan. Secara logiknya kalau belum berkuasa DS Anwar enggan memenuhi permintaan rakyat Sabah, apatah lagi beliau menjadi PM dan berkuasa!. .

Alasan ketiga, dengan adanya penguasaan UMNO yang memiliki kerusi DUN majoriti sebanyak 32 daripada 60 kerusi di Dewan undangan negeri Sabah, secara mathamatiknya adalah mustahil BN akan tewas dalam pilihanraya akan datang. Alasan keempat, jika peruntukan bajet sebanyak 3 billion ringgit yang diluluskan dewan undangan negeri baru-baru ini disalurkan dengan betul dan sampai kepada rakyat, saya pasti rakyat yang masih dahagakan pembangunan akan terus memilih BN.

Alasan kelima, sejak kerajaan BN memerintah negeri ini, sudah banyak pembangunan telah dilaksanakan samada di bandar mahupun diluar bandar. Isu pembangunan tidak lagi menjadi topik hangat untuk rakyat menolak kerajaan BN, tetapi kemungkinan mereka akan menolak calon BN, jika calon tersebut bukan pilihan rakyat. Apa yang kita harapkan saranan Dato' Seri Najib baru-baru ini yang menyatakan calon BN adalah pilihan rakyat (people choice) mudah-mudahan kata-kata ini kotakan.

Alasan terakhir corak pempinan Perdana Menteri Dato' Seri Najib, adalah berlainan dalam menangani isu-isu berhubung dengan kaum, agama, rasuah dan pengagihan ekonomi kepada rakyat berbilang kaum telah menampakkan hasil yang membanggakan dan diterima dengan baik oleh semua kaum.

December 03, 2010

Beri Peluang Anak Jati Sipitang di Sabah Forest Industries

Kilang kertas pulpa atau dikenali dengan Sabah Forest Industries Sdn Bhd kini bertapak di daerah Sipitang hampir 30 tahun. Pemilikan syarikat ini sering bertukar tangan dari kerajaan negeri ke Lion Group syarikat dari Semananjung, kini Bhalpur syarikat yang berasal dari India yang memagang equiti 98%, cuma kerajaan negeri hanya mempunyai kepentingan 2% sahaja. Sebagai seorang anak jati Sipitang saya merasa sedih kerana, walaupun pada asalnya objektif utama kerajaan BERJAYA yang dipimpin mantan Ketua Menteri Datuk Harris Mohd Salleh yang inginkan anak tempatan menerajui dalam pengurusan syarikat ini serta mahu rakyat Sipitang mendapat imbalan dari segi ekonomi ternyata meleset.

Sebagai anak kampung, saya merasa sedih apabila melihat beribu-ribu hektar tanah diperkosa dan sungai-sungai dicemari tanpa mengambil kira kebajikan masyarakat sekeliling terutama suku kaum Murut, Kedayan dan Lundayeh secara langsung menarima kesan simpangan keatas tanam-tanaman buah-buahan yang tidak lagi sesubur 20 tahun lalu. Namun masih ramai pihak-pihak tertentu tidak mengambil endah apa yang akan dihadapi oleh generasi akan datang masyarakat yang terlibat. Jika kita berkunjung kekawasan yang didiami masyarakat Murut dan Lundayeh, hampir 80% tanah disekitar kampung mereka bukan lagi milik mereka. Tidak ada lagi istilah tanah adat atau NCR, bak kata pepatah "Anak menangis kelaparan, kera di hutan disusukan" ini yang akan terjadi.

Pada akhir tahun 1980an saya pernah diambil tindakan displin serta ditamatkan perkhidmatan dari Sabah Forest Industries dengan serta merata dan sehinggalah hari ini ia menjadi rekod kekal, kerana pengalibatan saya menyertai parti USNO dengan tujuan memperjuangkan hak serta peluang pekerjaan untuk anak jati Sipitang. Walaupun saya dikecam hebat oleh pemimpin tempatan yang menyokong kerajaan negeri pada masa itu, termasuk beberapa pengurus kanan yang bersubahat memecat saya, kononnya saya tidak sehaluan dengan mereka.

Setiap kali saya merenung kembali kekerasan hati saya untuk menyuarakan dan mempertahan hak anak jati Sipitang pada masa itu, saya rasa bangga walaupun pada masa ini saya tidak mendapat apa-apa hasil perjuangan tersebut. Namun saya tidak mempunyai musuh secara peribadi. Tujuan saya berkongsi pengalaman lalu adalah semata - mata merayu agar kedua-dua YB semada ADUN dan Parlimen melihat apa yang berlaku dalam syarikat ini. Usah percaya dengan apa yang dikatakan oleh pihak pengurusan syarikat ini, tetapi buatlah kaji selidik melalui anak jati Sipitang yang bekerja sekian lama dalam syarikat tersebut. Tanya mereka siapa kah anak jati Sipitang yang menjawat jawatan kanan?, dan berapa ramai mereka, adakah tiada seorang pun orang Sipitang yang layak?.

Saya masih ingat ada seorang pengurus sumber manusia, bukan anak Sipitang dan tidak pun mempunyai kelayakan berkaitan sumber manusia, tetapi hasil dari kaki bodek kini menjadi orang penting. Dan seorang pengurus kanan yang didatangkan dari Semanajung, tidak pun memahami budaya tempatan serta sering memandang rendah kebolehan anak tempatan, adakah dia layak menjadi pengurus yang bersikap profesional?. Maka saya fikir tibalah masanya, anak tempatan diberi peranan penting dalam syarikat ini.

October 07, 2010

Sipitang Kini Sedang Membangun

Kita tidak boleh nafikan bahawa Pembangunan di Sipitang hari ini jauh lebih baik, jika dibandingkan 30 tahun lalu. Sebagai anak tempatan Sipitang saya tidak pernah ketinggalan untuk melihat perubahan wajah Daerah Sipitang dari masa ke semasa atas tampias arus pembangunan negeri Sabah yang kian berkembang maju.

Apa pun alasan sebahagian kecil pendapat sesetengah pemimpin pihak lain yang mempersoalkan bahawa kedua-dua YB kita, atas kemampuan mereka menjadi wakil rakyat selama ini, namun kita perlu juga mengimbas kembali, apakah yang telah dilakukan oleh mantan pemimpin era USNO, BERJAYA, PBS dan kini BN yang ditunggakkan oleh UMNO. Saya percaya ramai yang bersetuju Sipitang sedang membangun. Tetapi kita tidak semestinya meletakkan sepenuhnya ke atas bahu wakil rakyat kita semata-mata, kerana sokongan rakyat perlu dimantapkan lagi demi pembangunan daerah ini tanpa ada perasaan cemburu.

Soal siapa yang mendapat kontrak dalam melaksanakan pembangunan yang bakal dilaksanakan itu bukanlah menjadi isu utama yang perlu dibangkitkan oleh mereka yang tidak berpuashati dengan pembangunan yang ada sekarang. Secara peribadi, apa yang harus dilakukan oleh wakil rakyat kita adalah melaksanakan pembangunan yang seimbang kepada semua suku kaum, kampung-kampung di daerah Sipitang tanpa mengambil kira samada mereka itu penyokong BN atau tidak sebelum ini. Kerana dasar yang kita laksanakan itu bukanlah dasar individu atau sesuatu pihak sahaja, tetapi ia merupakan dasar kerajaan dimana rakyat telah memberi mandat melalui proses demokrasi supaya wakil yang dipilih dapat melaksana tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

Selepas kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan pada tahun lalu, kini Program Transformasi Ekonomi yang berpaksikan model ekonomi baru yang lebih mengenalpasti beberapa sumber atau industri dari pelbagai sektor sebagai enjin untuk menggerakkan ekonomi negara kita supaya lebih kompetatif. Maka sekali lagi Daerah Sipitang bakal mendapat tampias hasil transformasi yang berlaku. Pengumuman kerajaan untuk membina sebuah industri baja urea di Kuala Mengalong melalui syraikat Nasional iaitu Petronas akan memberi peluang pekerjaan lebih banyak disamping peluang perniagaan berskala kecil kepada penduduk tempatan. Pembesaran kilang pulpa Sabah Forest Industri juga bakal menambah peluang pekerjaan yang sedia ada. Cuma masyarakat tempatan perlu lebih aggresif untuk merebuat peluang yang akan terhidang dihadapan mata mereka dalam masa yang begitu singkat akan datang ini.

Kita tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah setengah pihak yang cuba menangguk di air keruh atau pun menghabis masa kita berbual-bual kosong di kedai kopi tanpa bertindak. Walaubagai manapun kita harus mendesak kedua-dua wakil rakyat supaya lebih lantang bersuara untuk menuntut peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang berkelayakan dan memampu menjalankan tugas yang diamanahkan. Cuba kita lihat apa yang berlaku di Sabah Forest Industri (Balphur), di mana anak tempatan kita? Ramai pengurus-pengurus yang berkerja dalam syarikat ini bukan anak tempatan. Salahkah mengambil anak tempatan yang berkelayakan untuk menjawat jawatan dalam syarikat ini?. Kita tidak mahu peluang yang sedia ada, kita terlepas pandang. Jika perkara ini tidak diambil kira, maka sia-sialah daerah ini memiliki industri gergasi seperti ini.

September 29, 2010

Mengapa Sekolah Menengah Telipok Yang Baru Masih Belum Dibina Lagi?

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran Malaysia meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membina dua buah sekolah di kawasan Kota Marudu sangat-sangat dialukan. Ini merupakan satu kejayaan ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Dr Maximus J Ongkili yang berusaha melihat keperluan mendesak bagi penduduk luar bandar yang diwakili beliau.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan Persekutuan kini begitu sensitif tentang masalah Pendidikan yang dihadapi oleh rakyat Sabah. Pendidikan merupa salah satu teras kemajuan pembangunan minda maupun fizikal sesebuah masyarakat. Tanpa Pendidikan kita tidak dapat melihat kemajuan sesebuah masyarakat samada dalam aspek ekonomi, politik maupun sosial. Melihat beberapa pembinaan Sekolah di seluruh negeri Sabah pada masa ini, kita harus bersyukur bahawa dari hari ke hari jelas menunjukkan Sabah tidak jauh ketinggalan dari segi rupa bangunan Sekolah yang dibina seakan-akan hotel bertaraf lima bintang. Apa yang menyedihkan kita ketika ini, cuma kesedaran Pendidikan ibubapa terhadap masa depan anak-anak mereka masih rendah terutama sekali kepada masyarakat yang diluar bandar.

Dalam isu Pendidikan di negeri Sabah, masih banyak lagi isu yang perlu kita perdebatkan terutama sekali dari segi proses pembinaan bangunan Sekolah tersebut. Adakalanya Sekolah itu dibina tidak menepati sasaran yang betul sehingga satu pembaziran wang yang begitu besar. Sebagai contoh kemungkinan di sekolah Menengah Sri Nangka Tuaran, masih banyak bilik darjah tidak digunakan disebabkan bilangan pelajar yang sedikit. Dan kedengaran bisikan dari beberapa warga pendidik mengatakan terdapat beberapa buah bilik darjah Sekolah di Sabah telah tidak digunakan sepenuhnya atau masih kosong disebabkan masalah bilangan pelajar yang rendah.

Apa yang menarik perhatian saya berhubung isu pembinaan Sekolah di Sabah adalah mungkin pihak Kementerian terlepas pandang dimana ada setengah tempat memerlukan bangunan Sekolah yang baru, sebagai contoh Sekolah Menengah Telipok yang terletak tidak jauh dari pusat bandar, tetapi dalam keadaan yang usang. Bukan itu sahaja pusat sumber yang digunakan oleh pelajar untuk mentalah pelajaran juga tidak selesa menyebabkan ramai pelajar mempunyai motivasi yang rendah. Sebenarnya mengikut maklumat dari warga pendidik yang sudah lama bertugas di Sekolah tersebut, sememangnya terdapat tapak yang baru dan sudah pun ditimbus 10 tahun yang lalu, dan kononnya peruntukan sudah pun diumumkan. Tetapi sehinggalah hari ini, masih belum lagi khabar berita tentang pembinaan bangunan Sekolah tersebut samada diteruskan atau sebaliknya.

September 28, 2010

Menara Jam Atkinson Harus Diwartakan

Pertelingkahan antara Datuk Rubin Balang dan Datuk Masidi Manjun berhubung isu pembinaan hotel 15 tingkat dan permis perniagaan berhampiran menara jam Atkison berusia 102 tahun, kini menarik perhatian umum. Dari segi fakta yang dinyatakan oleh Datuk Rubin bahawa pihak LPBB dan pemaju projek yang mana mendapat restu dari pihak Muzium (Mantan Pengarah) tidak dinafikan. Walau bagaimana pun, setiap agensi yang terlibat memberi kelulusan adalah bergantung kepada budibicara seseorang tanpa mengambil kira kepentingan dan implikasinya kepada masyarakat awam.

Apa yang menarik berhubung dengan isu ini adalah, dimana semua agensi dibawah Kementerian kerajaan Tempatan dan Perumahan seperti DBKK dan LPBB, telah memberi hujah yang lebih berat menyokong projek ini diteruskan. Manakala mengikut laporan EIA dan kenyaatan pihak Muzium bertentangan dengan idea projek ini. Ini disebabkan Menara jam Atkinson merupakan bahan sejarah yang satu-satu peninggalan penjajah masih kekal di bandar Kota Kinabalu, sementara bagi pihak EIA pula berusaha mengekalkan keaslian Alam.

Persoalan yang timbul dalam kehangatan isu yang dipaparkan melalui media adalah kelulusan oleh pihak tertentu sebelum ini dianggap tidak sah atau batal. Maka kita tidak menafikan bahawa pihak Muzium dan EIA berhak meneliti beberapa perkara demi kepentingan awam samada menolak atau menerima projek ini diteruskan.

Ramai yang berpendapat, jika sekiranya projek ini diteruskan, maka gangguan persekitaran Menara jam akan berlaku kerana jarak yang hanya beberapa meter dari projek yang dirancang. Mungkin LPBB berpendapat ia mempunyai hak membangunkan tanah milik mereka supaya tidak terbiar atau dari segi nilai komersial yang tinggi jika tidak dibangunkan, maka kerugian besar dari segi harta akan berlaku. Walau apa pun alasan mereka untuk menaruskan projek ini, saya kira masih banyak perkara yang perlu diambil kira.

Kita sepatutnya menghentikan usaha-usaha setengah pihak yang cuba memperkosakan alam sekitar yang menghijau dan meruntuhkan lereng bukit yang indah untuk kepentingan mana-mana pihak pun. Sebenarnya untuk menarik pelancong kebumi Sabah ini bukan dengan membina bangunan - bangunan tinggi melangit, tetapi mengujudkan persekitaran yang mesra. Tidaklah keterlaluan bahawa tibalah masanya bandar Kota Kinabalu ini berkonsepkan bandar dalam taman, supaya udara yang dihidu pun bersih.

Dengan demikian saya fikir para pemimpin politik dan kerajaan perlu memikirkan kepentingan masyarakat daripada menjaga kepentingan diri samada secara langsung atau tidak langsung. Kalaulah projek ini masih diteruskan tanpa persetujuan dari mana-mana agensi yang menilai kesahsihan projek ini, maka pihak SPRM harus campurtangan dalam penelitian setiap dokumen projek tersebut. Maka adalah wajar menara jam Atkison perlu diwartakan sebagai tapak sejarah.

September 22, 2010

Mampukah PKR Menawan Sabah PRU13?

Melihat kepada senario politik di Sabah masakini, tidaklah keterlaluan untuk memperkatakan bahawa masih banyak lagi ruang yang perlu diperkemaskan dari segi strategi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menawan Sabah dalam PRU ke 13 akan datang.

Berbicara tentang kemampatan kepemimpinan peringkat negeri khususnya Sabah, ternyata mereka tidak mempunyai haluan untuk membawa parti tersebut untuk berperang dengan sengit untuk menghadapi BN yang mempunyai gandingan utuh. Walau pun terdapat sedikit gangguan dalaman namun ia ditangani dengan baik.

Kebarangkalian untuk Pakatan Rakyat (PR )menawan Sabah masih dianggap jauh panggang dari api. Kemungkinan adapun kerusi yang bakal mereka menangi nanti hanya terdapat di bandar-bandar besar, kerana rakyat di luar bandar masih haus dengan pembangunan yang telah dirancang rapi oleh BN, yang semakin memperlihatkan kemampuan mereka melayan kehendak rakyat diluar bandar.

Kepimpinan kompenan BN peringkat negeri juga begitu terserlah untuk menjadi juara rakyat melalui perancangan pembangunan yang strategik dalam usaha menarik keyakinan rakyat untuk memberi sokongan padu dalam PRU akan datang.

Banyak tanda-tanda yang kita lihat menunjukkan PKR semakin rapuh untuk menghadapi tekanan dalaman, terutama sekali proses pemilihan ketua bahagian kini berlaku ketidaktelusan dalam sistem pengundian, yang menyebabkan adanya kem-kem yang tidak puashati dalam pemilihan tersebut.

Justeru, kedengaran dari kem yang kalah mengatakan berlakunya politik wang, dan juga wujudnya perwakilan yang tidak sepatutnya mengundi mana-mana calon sekali pun. Kegagalan membentuk satu gandingan yang mantap dengan parti lokal seperti SAPP dan Bersekutu yang cenderung kepada perjuangan kenegerian, juga merupakan penyebab mengapa PR tidak kukuh.

Perebutan dalam barisan kepimpinan samada peringkat kebangsaan dan negeri kian memuncak, ini menunjukkan mereka hilang fokus dalam misi untuk menakluk negeri Sabah. Jika kita lihat senario yang berlaku sekarang, tidak dinafikan adanya politik cantas mencantas dikalangan mereka sehinggalah ke penyokong akar umbi.

Perebutan ketua bahagian dikawasan Sook juga bakal menyaksikan Datuk Dr Jeffery Kitingan akan dicabar dalam pertandingan tiga penjuru, yang mana kita andaikan bahawa ada usaha mengenepikan beliau untuk memainkan peranan penting dalam barisan kepimpinan PKR.

September 21, 2010

Keterbukaan Minda Kunci Perpaduan

Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak kepada para Penjawat Awam, bahawa keterbukaan minda merupakan kunci perpaduan rakyat harus diterima dengan baik oleh semua pihak. Gagasan 1Malaysia perlu dihayati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira asal usul maupun agama di negara ini. Setiap rakyat yang mendiami negara ini generasi ke generasi tidak perlu lagi dipersoalkan tentang kesetiaan mereka dalam usaha bersama untuk membangunkan negara kita Malaysia yang tercinta.

Malaysia sudah merdeka 53 tahun lalu, Sabah dan Sarawak bersama membentuk negara Malaysia 47 tahun. Tetapi, kebelakangan ini masih lagi kedengaran isu-isu sensentif yang berunsur bangsa dan agama sering ditimbulkan oleh sekelompok kecil mereka yang terlalu sempit cara pemikiran mereka. Sepuluh tahun dari sekarang negara kita akan sampai ke Visi 2020 yang diasaskan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed, bakal menyaksikan negara kita akan melonjak ke sebuah negara industri.

Apa yang membimbangkan kita dewasa ini kebanyakan tindakan dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dilontarkan melalui media-media adalah dari para pemimpin yang cuba mengambil publisiti murahan untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan impaknya terhadap masyarakat keseluruhannya. Rakyat yang sudah muak dengan tingkah laku sekelompok kecil pemimpin ini akhirnya menolak mereka dan juga kerajaan yang diwakili.

Pada dasarnya niat Perdana Menteri kita ikhlas dalam membangun negara ini tanpa mengira isu-isu kenegerian yang ditimbulkan. Walau bagaimana pun Perdana Menteri terpaksa akur dalam sebarang keputusan, kerana beliau dikelilingi mereka-mereka yang berpandangan ekstrim terhadap sesuatu isu untuk kepentingan kelompok tertentu.

Untuk mentransfomasikan sesebuah kerajaan, sebenarnya tidaklah sebegitu payah jika semua masyarakat menerima hakikat bahawa setiap rakyat Malaysia yang sudah menetap di negara ini sekurang-kurang generasi yang ketiga kecuali pendatang tanpa izin dan pemilik kad pengenalan melalui pintu belakang, juga telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kearah pembangunan ekonomi sehinggalah kita sampai ketahap yang dibanggakan sekarang. Para pemimpin dari setiap lapisan masyarakat harus berubah terlebih dahulu sebelum memaksa rakyat untuk berubah, kerana setiap saranan atau ungkapan pemimpin tertentu akan mempengaruhi sesuatu keputusan.

September 14, 2010

Penganugerahan Darjah Kebesaran Perlu Diteliti Semula

Kebelakangan ini terlalu banyak perkara yang melibatkan mereka yang bergelar Tun, Tan Sri dan Datuk dalam pelbagai kes jenayah. Bukan itu saja malahan kes rasuah dan penipuan kian berleluasa. Apa yang menghairankan kita ramai mereka ini berusia 40an, entah apa - apalah sumbangan mereka ini. Bila sudah dua tiga tahun memegang jawatan CEO atau ketua sebuah syarikat milik mereka sendiri, tak lama lagi ada sudah gelaran mereka. Yang sedihnya ada dikalangan penjawat awam yang berkhidmat sehingga bersara dalam perkhidmatan pun tidak semudah untuk dihargai jasa mereka.

Sepatutnya pihak yang berwajib yang diberi mandat untuk menapis senarai mereka yang layak untuk dianugerahkan darjah kebesaran, samada peringkat Negeri maupun Persekutuan perlu berhati-hati dalam pemilihan ini. Apa yang merisaukan kita, gelaran ini telah digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mereka mengabui mata orang awam sehingga terlibat dalam perbuatan yang keji dan kejam yang tidak dapat diterima oleh masyarakat.

Secara peribadi penganugerahan ini perlu dihadkan kepada bilangan yang kecil setiap tahun, agar kedudukan mereka yang bergelar tertinggi sentiasa dihormati dan disegani oleh masyarakat. Saya juga mencadangkan agar mereka yang sudah berkhidmat dalam apa saja organisasi samada badan-badan NGO termasuk penjawat awam yang sudah bersara layak disenaraikan dan bagi orang-orang politik yang berjawatan YB tidak kurang 10 tahun perkhidmatan mereka kepada masyarakat. Kerana integriti para pemegang gelaran ini haruslah dijaga, supaya mereka tidak dipandang hina oleh masyarakat sekeliling.

Bagi sektor korporat, walaupun mereka mungkin memberi sumbangan berjuta-juta ringgit dengan niat, kita tidak semestinya membalas sumbangan itu dengan pemberian anugerah sedangkan kita tidak meneliti latarbelakang dan keikhlasan seseorang individu tertentu.

Walau bagaimana pun kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang telah mengarahkan pegawai Istana untuk melaporkan seorang individu kepada pihak SPRM yang cuba memberi hadiah Hari Raya kepada kerabat Diraja Istana Johor sebanyak RM1 juta, kononnya hadiah duit raya, tetapi Duli Yang Maha Mulia Sultan menganggap ianya satu penghinaan kepada Istana sempena menyambut hari yang begitu mulia ini.

September 06, 2010

Mengekalkan Datuk Peter Pang Jawatan Kabinet Tidak Rasional

Keputusan Datuk Seri Musa Aman selaku Ketua Menteri Sabah untuk mengekalkan Datuk Peter Pang dalam kabinet beliau, setelah mengumumkan keluar dari parti LDP baru-baru ini adalah tidak rasional. Sememangnya kita akui bahawa Ketua Menteri mempunyai kuasa dan budi bicara untuk membuat keputusan tanpa nasihat dari mana-mana pihak. Walau bagaimana pun suasana politik tanah air masakini tidak memungkinkan beliau mengambil langkah drastik tanpa melihat sensetiviti kompenan BN lain.

Adalah wajar membiarkan jawatan yang dipegang Datuk Peter Pang dikosongkan untuk menenangkan suasana buat sementara waktu.Lagi pun Datuk Peter Pang tidak lagi mempunyai parti untuk mengizinkan beliau terus memegang sebarang jawatan kabinet. Banyak perkara yang kita boleh persoalkan tentang kedudukan beliau, jika kedudukan tidak berubah. Salah satu alasan mengapa Datuk Peter Pang tidak boleh meneruskan khidmat sebagai menteri kabinet?, parti LDP tidak meninggalkan kompenan BN, hanya beliau keluar parti.

Jika pun beliau ingin menyertai parti yang berasaskan parti semenanjung (Gerakan), maka beliau tidak layak mewakili kouta Cina dan tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, kerana parti yang berasakan tempatan sepatutnya yang akan memegang jawatan tersebut. Sikap tidak menghormati perasaan rakan dalam BN juga sudah semestinya faktor diambil kira dan perlu mendapat pandangan dari semua kompenan BN.

Kalau budaya politik yang diamalkan oleh sebahagian kecil ahli parti BN tidak diperbetulkan, maka akibatnya BN akan menjadi parti "rojak", bukan LDP menjadi parti "rojak" sepertimana yang dilebalkan oleh Datuk Ghapur Salleh sebelum ini.Kerana segelintir pemimpin BN cuba menghalalkan budaya politik menerima ahli dengan mudah atau secara langsung dikalangan BN bertukar parti dalam kompenan itu sendiri, tanpa merujuk dikalangan kompenan lain, dimasa akan datang jangan salahkan sesiapa jika perbuataan ini akan berulang.

September 01, 2010

Adakah LDP Mengikut Jejak SAPP?

Tidak dinafikan ada setengah pemimpin sanggup mempertahankan ketuanya walau dalam apa keadaan sekali pun. Soal termakan budi tidak lagi menjadi satu ikatan untuk terus menyokong prinsip perjuangan parti dan Presiden parti yang telah memberi tempat istimewa bagi seseorang pengikut setia.

Keputusan Datuk Peter Pang keluar dari LDP untuk menyertai GERAKAN bukan satu kejutan kepada pemerhati politik di negeri ini. Sebelum ini pun Datuk Raymond Tan bekas pemimpin kanan SAPP, juga tidak setuju dengan bossnya Datuk Yong Teck Lee, lalu menyertai GERAKAN. Istilah politik bolehlah kita takfirkan bermacam-macam, ada yang kata mereka ini hanya cuba menyelamatkan periuk nasi, dan banyak lagi alasan lain. Tetapi yang tidak pasti, samada penyokong akar umbi akan terus menyokong mereka ini, hanya pilihanraya akan datang akan menjawabnya.

Saya fikir soal mengkritik Pengerusi BN negeri juga selaku Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman oleh pemimpin LDP secara terbuka, bukan lah perkara baru dalam arena politik. Saya masih ingat dimana Tan Sri Leo Moggi semasa beliau menjadi Presiden parti PBDS (Parti Bangsa Dayak Sarawak) tidak menyokong kepimpinan negeri Tan Sri Datuk Amar Taib Mahmod selaku Ketua Menteri Sarawak, tetapi menyokong kepimpinan di peringkat Persekutuan, dan beliau telah memegang jawatan sebagai Menteri Persekutuan ketika itu sehingga beliau bersara, kini menjawat jawatan terpenting dalam syarikat GLC.

Sebagai pemerhati politik di negeri ini, saya menyarankan supaya kita melihat suasana politik Sabah yang kian bergelora ini dengan fikiran terbuka tanpa menyalahkan mana-mana pihak. Setiap penyokong dan ahli setia parti sudah semestinya kita mempertahankan Ketua kita, begitu juga jika Datuk Seri Musa Aman dihentam secara terbuka oleh pihak lain pasti penyokong UMNO akan tampil kehadapan untuk mempertahankan beliau, walau apa pun yang dihadapi. Begitu juga keadaannya dengan Datuk Chin Shu Phin selaku Timbalan Presiden parti LDP yang sentiasa setia bersama bekas boss Tan Sri Chong Kah Kiat. Tetapi yang jelas kemasukan parti bukan bumiputera dari Semananjung ke Sabah dengan mudah tanpa menunggu pembahagian kerusi dalam pilihanraya akan datang.
 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved