August 11, 2010

Mutu Perkhidmatan Pelanggan kita Rendah

Baru-baru ini saya dan isteri berkunjung ke Pasar Raya yang terletak di Wisma Merdeka. Selepas membeli belah kami singgah di sebuah restoran yang kebetulan dalam gedung yang sama untuk menikamti makan malam. Pada masa yang sama kami juga terserempak dua pasangan Warga British juga masuk ke restoran dan duduk sementara pelayan restoran tersebut datang untuk mengambil pesanan makanan dari kedua pasangan tersebut.

Setelah kami memerhati pelayan itu mengambil pesanan makanan, pelayan ini amat sukar memahami apa yang dipesan oleh kedua pasangan ini. Ini memaksa saya campur tangan dan menyuruh isteri saya membantu pelanggan tadi agar mereka dapat memesan makanan yang mereka mahu.

Apa yang memalukan saya sikap beberapa pelayan dalam restoran tersebut terus-menerus mentertawakan rakan mereka yang mengambil pesanan tadi. Banyak lagi sikap biadap yang mereka tunjukkan kepada pelanggan, yang mana tidak sopan dan hormat seperti yang kita war-warkan selama ini bahawa kita orang Malaysia mempunyai nilai budaya yang tinggi, tetapi sebaliknya.

Kalaulah selama ini Kementerian Pelancongan bekerja keras untuk mempromosikan tempat-tempat yang menarik dinegeri ini untuk dilawati oleh pelancong dari negara luar dengan erti kata lain, bahawa produk pelancongan adalah salah satu sumber ekonomi negeri ini yang perlu ditunjulkan, maka hasrat kerajaan itu hanya sia-sia belaka disebabkan mentaliti sebahagian kecil masyarakat yang masih rendah nilai-nilai budaya kesopanan .

Dengan ini saya mencadangkan agar, bukan sahaja pihak-pihak tertentu dilatih supaya sentiasa senyum apabila menyambut tetamu samada dipusat-pusat peranginan, lapangan terbang atau hotel, tetapi pekerja restoran juga perlu diminta mengikuti kursus cara-cara berkomunikasi dan bersopan. Mungkin ada setengah pihak menganggap perkara ini kecil tetapi ia akan membawa impak yang besar terhadap industri pelancongan kita.

People who read this post also read :



0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved