May 04, 2012

Demokrasi Malaysia Di Persimpangan

Bila kita bercakap tentang Demokrasi sesebuah negara, rakyat pasti membuat kesimpulan bahawa demokrasi adalah kebebasan hak bersuara, menuntut keadilan dalam apa jua aspek samada Politik, Ekonomi  dan Sosio budaya. Dan seringkali Negara Malaysia lah yang muncul ingin menjadi juara di kalangan negara-negara Asia Tenggara malah dunia. Malaysia lantang bersuara mengkritik yang kononnya negara-negara Eropah dan Amerika melakukan banyak sikap prejudis terhadap sesuatu kaum ethnik bangsa dan agama terhadap mereka yang bukan berkulit putih. Bukan itu sahaja malah negara Malaysia sering dijemput untuk menjadi pemantau Pilihanraya di kebanyakkan negara ketiga di dunia.

Kelantangan Malaysia selama ini dalam menyuarakan dan menegakkan sistem demokrasi yang terbaik di rantau ini mahupun dunia, tidak lagi dapat disembunyi oleh para pemimpin negara ini yang selama ini hanya main wayang kulit dalam mengamalkan sistem demokrasi yang dicanangkan selama ini. Kecanggihan dan kecepatan teknologi yang sukar dibendung tentu sekali menjadi punca Malaysia, bukan lagi negara popular di kalangan dunia hari ini.

Mengimbau beberapa demonstrasi seperti Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 yang dilancarkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik yang berhaluan kiri, jelas menunjukkan bahawa rakyat sudah mula muak akan apa yang berlaku selama ini. Kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO kini tidak popular dan relevan dengan keadaan semasa. Mungkin adakah perjuangan mereka ini sudah terkeluar dari landasan perjuangan yang sebenar?. Mungkin juga kebongkakkan dan kesombongan pemimpin dalam Kerajaan itu sendiri, yang membuat rakyat sedar dan bangkit untuk mengubah kerajaan yang ada sekarang.

Kerajaan juga harus sedar demonstrasi jalanan yang berlaku di Ibu Negara Kuala Lumpur dan di beberapa bandar kecil, jangan sekali-kali cuba menterjemahkan demonstrasi itu hanya didalangi oleh pihak parti-parti pembangkang sahaja. Kalau kerajaan juga menganggap bahawa demonstrasi hanya dilakukan segelintir individu-individu seperti Ambiga, maka kerajaan telah gagal memahami denyutan jantung rakyat Malaysia yang sebenarnya.

Bilangan penyertaan ratusan ribu (anggaran 300,000 orang) dalam demonstrasi jalanan yang sepatutnya  diadakan di Dataran Merdeka secara aman, iaitu "Duduk dan Bantah" namun pihak Dewan Bandaraya dan Polis telah tidak meluluskan permohonan pihak penganjur, sehingga menyebabkan suasana demonstrasi itu telah  berubah sehingga tidak terkawal. Umum mengetahui bahawa demonstrasi tersebut hanya mau kerajaan berlaku adil dan transparen dalam Pilihanraya umum akan datang dan membersihkan nama-nama yang meragukan dalam senarai daftar pemilih  yang digunapakai dalam pilihanraya tersebut. Namun kerajaan menafikan hak rakyat disebabkan kerajaan kini dalam ketakutan untuk menghadapi pembangkang dan memberi hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baru.

Kerajaan kini dalam dilema  samada menangguh Pilihanraya sehingga masa yang sesuai atau tahun hadapan. Ini disebabkan kerajaan BN mula sedar bahawa rakyat sudah berani mencuba sesuatu yang baru, walaupun pada hakikatnya kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mentransformasikan pelbagai sistem (Ekonomi dan Kerajaan) yang sudah lapuk di negera ini dengan tujuan menambat hati rakyat supaya kembali kepangkuan BN untuk terus menyokong kerajaan dan pemimpin yang sedia ada. Ini diibaratkan seolah-olah menggantikan botol susu yang lama dengan membuat label baru, tetapi isi susu dalam botol tersebut masih susu yang lama. Kerana selagi para pemimpin dalam UMNO-BN tidak mentransformasikan minda dan persepsi dan prasangka  mereka terhadap bangsa dan agama rakyat Malaysia lain Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak, maka untuk membentuk bangsa Malaysia yang dinamik adalah sukar.

Kegagalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penubuhan Suruhanjaya Sasiatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) yang memperolehi dokumen secara songsang di Sabah, membuktikan penghinaan kepada rakyat bumiputera Sabah yang sudah sekian lama mau yang isu-isu PTI di Sabah harus ditangani dengan kadar segera. Pemimpin kompenan BN dari Sabah ( Tan Sri Dompok dan Datuk Seri Wilfred Bumburing) seringkali menyuarakan dan menuntut agar RCI ditubuhkan di Sabah, namun kelantangan mereka juga tidak ada impaknya kerana kurang mendapat sokongan dari rakan UMNO-BN yang dianggap banyak kebergantungan dengan pengundi dari golongan tersebut.

Pertambahan pengundi di beberapa negeri di Malaysia terutama sekali negeri-negeri di bawah kerajaan pembangkang telah meningkat secara drastik, namun telah dinafikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) atas sebab kempen secara agresif yang dijalankan oleh SPR telah membawa impak dan mempengaruhi kesedaran sebagai warganegara untuk mendaftar sebagai pengundi dalam amalan sistem demokrasi. Apa jua alasan yang diberikan oleh SPR menunjukkan sikap barat sebelah yang lebih memihak kerajaan BN ketika ini. Keraguan senarai daftar pemilih yang sudah dikenalpasti telah mengecewakan banyak pihak, kerana mengikut SPR hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja yang mempunyai kuasa untuk memadamkan nama mereka yang meragukan.

Kenyatan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed semasa menyampaikan syarahan di Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini yang menyangkal bahawa kerajaan BN tidak pernah melakukan penipuan dalam pilihanraya. Mungkin kenyataan Tun itu perlu kita bahas kebenarannya. Tun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan penipuan secara menyeluruh. Tun Mahathir lupa bahawa keperitan dan penderitaan rakyat Sabah alami dan kini berusaha untuk menentang ketidakadilan oleh pihak-pihak pro-kerajaan sehingga berlakunya projek IC di Sabah yang berleluasa yang sukar dibendung. Apakah ini bukan penipuan? Kerana agenda di sebalik projek IC adalah untuk merompak kuasa rakyat tulen negeri Sabah dari pihak-pihak tertentu yang ingin berkuasa melalui cara haram. Jika pendedahan seorang penulis yang bernama S. Mutalib sebagai fitnah atau pembohongan besar dalam tulisan buku beliau tentang "Projek IC di Sabah", kenapa beliau tidak didakwa?
 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved