August 28, 2010

PKR Sabah Kian Rapuh

Pemecatan 12 anggota PKR Sabah baru-baru ini disebabkan usaha mereka menubuhkan parti PCS, menggambarkan PKR Sabah sekali lagi bergolak. Walaupun pelan damai dari kumpulan Datuk Dr Jeffery Kitingan dan Christina Liew dengan satu pihak lagi telah dipersetujui, namun pelan tersebut tidak ditepati, setelah hampir 10 bulan kumpulan mereka tenang buat sementara waktu.

Hakikatnya para pemimpin tertinggi parti, besar kemungkinan ada usaha-usaha untuk menyingkirkan kedua pemimpin kanan PKR Sabah ini. Justeru, langkah yang diambil adalah mengantung para pengikut kuat mereka, secara langsung menghantar masej untuk mereka berdua.

Banyak kebarangkalian yang kini berligar difikiran para penyokong Dr Jeffery sekarang, samada meneruskan perjuangan bersama PKR atau cuba mencari alternatif lain untuk memestikan hidup matinya karier politik Dr Jeffery.

Pada pandangan saya, apa yang perlu Dr Jeffery serta pengikut setia beliau lakukan adalah merenungkan kembali inti perjuangan sebenar. Kalau kedua pemimpin ini yakin bahawa falsafah perjuangan mereka selama ini untuk menuntut hak Sabah untuk Sabah, maka PKR bukanlah parti yang berpegang kepada prinsip yang dicari-cari oleh Dr Jeffery selama ini.

Jika alasan beliau tidak berpihak kepada BN disebabkan parti BN sentiasa merujuk kepada pemimpin Kuala Lumpur untuk mengurus Sabah ini, adakah Dr Jeffery lupa PKR juga terpaksa berbuat demikian merujuk kepada pemimpin kanan parti di Kuala Lumpur?, seperti mana yang berlaku kepada 12 penyokong beliau yang kini menjadi mangsa kaedaan. Justeru, Dr Jeffery ada dua pilihan samada menyertai Datuk Yong Teck Lee atau joint the crowd (bersama BN). Pada pendapat saya "either you joint them or fight them".

August 27, 2010

Perbuatan Pegawai Penguatkuasa Jeti Pulau Ketam Khianat

Kalau lah tinjauan Wartawan Berita harian di Jeti pulau ketam terhadap Pegawai penguatkuasa, yang menjaga pintu keluar/masuk rakyat Indonesia ke negara ini benar menerima habuan sehingga RM60,000 sebulan, ini bererti satu perbuatan pengkhianat kepada negara dan perlu diambil tindakan segera.

Perbuatan kakitangan awam yang terlibat perlu dipandang serius oleh kerajaan. Justeru, tindakan untuk menyiasat perkara ini harus dilakukan dengan serta marta. Jika ini benar, kita tidak merasa terkejut melihat rakyat negara jiran kita berkeliaran dimana-mana pelusuk dalam negara kita, kerana perbuatan segelintir warganegara kita yang sanggup mengadai negara demi mengisi poket mereka.

Mungkin kah ini hanya berlaku di Jeti pulau ketam sahaja? atau dimana-mana pintu keluar/masuk, tidak terkecuali negeri kita Sabah. Tetapi apa yang menghairankan kita seperti tinjauan wartawan bahawa bukan sahaja Pegawai penguatkuasa Imigresen, malahan turut terlibat Jabatan Laut, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Polis Merin Dan Agensi penguasa maritim Malaysia (APMM).

Saya berpendapat perbuatan ini bukan sahaja sebagai pengkhianat, tetapi juga tidak bermoral dan amalan agama yang tidak kuat untuk menolak sebarang jenis suapan. Cuba kita renungkan kembali, bagaimana pejabat kedutaan kita di negara jiran tersebut dilamparkan dengan najis oleh mereka yang tidak bertamadun oleh kerana tidak dapat mengawal emosi mereka. Dan dipihak kita pula langsung tidak menghiraukan masa depan generasi anak cucu kita, sehingga kita lebih mementingkan suapan haram ini.

Kerajaan perlu bertindak tegas kepada segelintir pegawai-pegawai yang tidak bermaruah yang diamanahkan untuk menjaga sempadan dimana sekali pun negara jiran. Tibalah masa pegawai SPRM ditempatkan dimana keadaan yang perlu tanpa menunggu arahan atau komplain dari mana-mana pihak. Saya juga menyeru agar pegawai yang terlibat haruslah insaf untuk memulihkan keyakinan masyarakat dan kredibiliti sebagai penjawat awam yang diamanahkan tanggungjawab ini.

August 25, 2010

Buktikan Penggunaan Bajet RMK10 Perlu Disambut Baik

Saranan YAB Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah untuk menyiasat pengaggihan peruntukaan bajet RMK10, agar disalurkan dengan betul, semasa mendengar taklimat pembangunan yang membabitkan Pegawai daerah dari 5 daerah. Ini membuktikan hasrat baik Ketua Menteri ingin melihat pegawai-pegawai kerajaan melakukan tanggungjawab mereka dengan ketelusan dan ketirisan untuk melaksana segala projek yang menelan belanja berbilion ringgit.

Kita tidak nafikan bahawa dalam perlaksanaan projek pembangunan kepada rakyat masih banyak perlu diambil perhatian dari segi perlaksanaannya. Setiap tahun kedengaran pengumuman bajet bagi setiap RM yang membabitkan berbilion ringgit untuk negeri Sabah. Tetapi pada umumnya terdapat kepincangan dari aspek penyaluran peruntukan tersebut. Sebagai contoh ada setengah kampung yang tidak memerlukan pembinaan sebuah projek atau mungkin bilangan penduduk hanya beberapa karat manusia sahaja, tetapi projek itu dilaksanakan juga, sedangkan banyak kampung yang mempunyai kepadatan penduduk sehingga hari ini mereka belum mendapat apa-apa disebabkan mereka dilebalkan sebagai pembangkang atau tidak mengundi ahli YB yang mewakili mereka.

Pada pendapat saya, jika ini berlaku berterusan, dimana ahli-ahli YB menghukum rakyat yang tidak menyokong mereka pada pilihanraya lalu, apakah YB yakin rakyat akan mengubah pendirian mereka dalam pilihanraya akan datang, berkemungkinan diadakan pada tahun depan serentak dengan pilihanraya negeri Sarawak?. Dalam hal ini sikap YB terhadap sesuatu kumpulan harus berubah untuk membuktikan kepada rakyat keikhlasan mereka dalam memperjuangkan rakyat. Maka gagasan 1Malaysia iaitu "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri kita, dapat dilaksanakan kerana ahli-ahli YB telah melaksanakan amanat tersebut tanpa mengira latarbelakang serta fahaman politik rakyat yang diwakili mereka.

Saya juga ingin menyentuh sebuah syarikat kontraktor yang telah mendapat kontrak untuk menaiktaraf dan membaiki kerosakan jalanraya diseluruh pelusuk negeri Sabah. Kita akan terlihat papan tanda kemana sahaja jalan masuk ke kampung-kampung disetiap daerah. kononnya syarikat ini adalah yang bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut. Tetapi, pada hakikatnya syarikat ini mungkin membuat tuntutan pembayaran setiap tahun kepada kerajaan, tetapi tidak melaksana kerja-kerja tersebut, seperti mana yang dikehendaki, atau buat kerja ala kadar sahaja. Jika syarikat ini mendapat tawaran selama 20 tahun, bayangkan sahaja berepa bilion kerajaan akan rugi untuk membayar, tanpa kerja dilakukan. Mungkin ramai kita tidak sedar, hakikat yang berlaku ketidak tirisan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Pengalibatan sebahagian kecil kakitangan kerajaan dalam meluluskan dan melaksanakan sesebuah projek tanpa mendapat pendangan dari masyarakat, dimana ia dilaksanakan, juga berlaku. Ini berkemungkinan mereka mempunyai kepentingan darisegi perlaksanan projek tersebut apabila ia diluluskan. Dan kemungkinan juga berlaku, ada kakitangan yang mencadangkan kepada syarikat atau individu untuk memohon agar projek ini dilaksana dengan tujuan untuk mendapat habuan.

Maka saya cadangkan setiap projek yang melebihi 20 ribu keatas perlu mengadakan tawaran (tender) secara terbuka dan bagi projek kurang 20 ribu akan diserahkan kepada pihak JKKK/JKDB di kampung dimana projek itu dilaksanakan dengan tujuan masyarakat dikampung tersebut dapat dimenikmati serta mengujudkan kerjasama tanpa mengira fahaman politik dalam melaksanakan projek itu kelak. Disamping itu, pihak SPRM sentiasa meninjau keberkesanan setiap pelaksanan tanpa gangguan mana-mana pemimpin politik dalam daerah tersebut.

August 24, 2010

Kutuk Perbuatan - Kes Simbah Cat Merah di Surau

Sejak akhir-akhir ini banyak perbuatan khianat yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab keatas rumah-rumah ibadat samada Surau, Masjid dan Gereja. Yang terbaru ialah kes menyimbah cat merah di surau Taman Pulai Impian Seremban. Semua pihak haruslah bertenang dalam menangani kes-kes yang membabitkan jenayah berunsur hasutan. Kes ini adalah hak pihak Polis untuk menyiasat secara profesional kesahihan, siapa kah mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat ini?

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian, marilah kita kutuk sekeras-kerasnya mereka yang melakukan perbuatan hina serta menganggu ketenteraman awam. Kita juga mau agar mereka ini akan dibawa ke muka pengadilan. Kita tidak mau perbuatan ini akan memecah belah hubungan kaum dan agama dalam kehidupan masyarakat majmuk negara Malaysia yang sudah terbina dengan utuhnya sejak merdeka lagi.

Kita juga berharap jangan sekali-kali ada pihak yang cuba menuduh atau membuat spekulasi bahawa perbuatan yang dilakukan ini adalah oleh orang yang bukan seagama atau penganut lain. Kerana tidak ada agama didunia ini mengajak kita melakukan kekejaman atau merosak harta benda, malahan semua kita dianjurkan berbuat baik dan mendoakan agar hidup kita sentiasa aman damai.

August 23, 2010

Mutu Perkhidmatan Bus Airport Tawau Perlu Tingkatkan

Saya tiba di Airport Tawau pada hari Sabtu lalu kerana tugas. Walaupun baru pertama kali menjajak kaki di daerah ini namun saya terperanjat, bahawa rupanya hanya sebuah syarikat bus sahaja beroperasi dari Airport ke bandar Tawau selain dari teksi yang menggenakan tambang RM45 seperjalanan. Saya memilih menaiki bus kerana kadar tambang yang murah RM10, disamping saya tidak kelam kabut. Apa yang tidak menyenangkan hati saya adalah keadaan bus tersebut, seperti ada aircon tetapi tidak berfungsi dan tidak mempunyai tingkap. Pemandu bus pula hanya membiarkan pintu sentiasa terbuka sepanjang perjalanan ke bandar Tawau.

Penumpang dalam bus ini kira kira 10 orang terdiri dari pelancong orang putih. Apa yang membuat saya tertanya-tanya, kenapa hanya sebuah bus sahaja dibenarkan beroperasi dari Airport ke bandar Tawau sedangkan Tawau merupakan pintu masuk ke distanasi pelancong seperti pulau sepadan dll. Pandangan saya sekiranya permit bus hanya diberikan kepada orang-orang tertentu sahaja, maka hasrat kementerian Pelancongan untuk mempromosi negeri di bawah bayu sebagai distanasi pelancongan tidak akan tercapai, kerana kita hanya memikirkan untuk membolot keuntungan semata-mata, tanpa memikirkan keselesaan awam. Kita tidak nafikan banyak teksi-teksi yang haus menunggu penumpang, tetapi pada hakikatnya orang awam tidak ada pilihan.

Bandar Tawau kini pesat membangun dan saya amati ia juga bersih. tahniah kepada pihak berkuasa tempatan. Cuma saya sebagai pelawat bermusim, mencadangkan supaya pihak berkuasa memberi pertimbangan agar membuka peluang kepada mereka yang berkemampuan untuk menjalankan operasi bus mini, demi keselesaan pengguna tempatan dan pelancong supaya mereka mempunyai banyak pilihan apabila berkunjung ke Tawau.

Tidak Salah Pemimpin Kompenan BN Menyuarakan Pandangan Penyokong Akar Umbi

Kenyataan Datuk Dr Chua Soon Lek berhubung dengan 30% ekuiti bumiputera perlu dikaji semula, saya fikir bukanlah menjadi isu yang menyamarakkan kemarahan orang melayu sepertimana yang diulas oleh setengah pemimpin UMNO melalui akhbar baru-baru ini, jika kita menerimanya dengan hati yang terbuka.

Malahan kenyataan beliau merupakan isi hati para penyokong diperingkat akar umbi yang perlu disampaikan untuk dinilai semula samada diterima atau tidak. Sebagai pemimpin beliau bertanggungjawab meluahkan hasrat mereka, kalau tidak saya percaya rakyat yang memilih mereka akan menghukum pemimpin dalam pilihanraya akan datang yang takut bersuara walaupun mereka berhak, tetapi oleh kerana terlalu menjaga perasaan orang lain, maka akibatnya pemimpin tersebut akan menjadi mangsa kaedaan.

Sebagai seorang bumiputera saya yakin kita jangan sekali-kali taksub apabila pihak lain menyuarakan atau menuntut sesuatu supaya keistimewaan yang kita nikmati selama ini tidak tergugat, namun kita juga perlu merenungkan kembali kejayaan-kejayaan yang dicapai bumiputera hasil usaha gigih kerajaan yang telah memberi keistimewaan dan perlindungan hak kepada bumiputera selama ini, adakah mereka yang berjaya telah membantu golongan bumiputera yang kurang bernasib baik atau yang diketegorikan miskin tegar.

Cuba kita lihat kaum bukan bumiputera yang berjaya hasil usaha mereka tanpa subsidi dari kerajaan, kini membantu kaum mereka dari segi pembiayaan biasiswa, kebajikan dan mereka juga mampu mendirikan institusi pengajian tinggi mereka sendiri, dimanakah bumiputera yang bangga dengan identiti mereka? adakah mereka membantu golongan miskin atau hanya mau disenaraikan sebagai orang yang terkaya dikalangan bumiputera sahaja? apakah sumbangan mereka?. Ada juga pemimpin Melayu dan bumiputera yang dibantu oleh kerajaan dalam pemberian kontrak-kontrak, perniagaan dan pendidikan, kini menentang kerajaan. Apakah untungnya jika kita sentiasa lupa jasabaik kerajaan yang sentiasa melindungi hak kita?.

Untuk menjadi negara yang kompetatif, bukan sahaja setekat rakyatnya hidup harmoni dengan bantuan-bantuan dari kerajaan, tetapi kita perlu bersaing untuk maju dalam pelbagai aspek agar kita dihormati orang.

August 20, 2010

Pemimpin Sabah Perlu Bersatu Dalam Menagakkan Hak Negeri

Sebenarnya banyak perkara yang harus diperjuangkan oleh para pemimpin Sabah samada dari kerajaan mahupun pembangkang. Tetapi, walaubagai manapun pemimpin kita terlalu asyik memperjuangkan kepentingan peribadi masing-masing. Tuntutan kawasan pilihanraya oleh setengah pihak seolah-olah tidak ada benda lain untuk dicanangkan melalui media-media supaya suara mereka dapat didengar, tetapi pada hakikatnya ia sudah melanggar semangat dalam kompenan parti itu sendiri.

Apabila sekelompok kecil cuba menyuarakan sesuatu yang perlu dikongsikan bersama di negeri kita Sabah ini, ada pihak menuduh kononnya perbuatan ini melampau. Kalau pemimpin tertentu cuba mengalihkan pandangan rakyat dan menafikan suara akar umbi tentu sekali pilihanraya akan datang akan mengubah landskap politik dinegeri ini, kerana pihak pembangkang sudah mempunyai sumber yang kuat untuk manipulasi beberap isu-isu.

Kita tidak menafikan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO dinegeri ini, tetapi itu tidak cukup untuk menawan hati para pengundi kerana rakyat lebih arif bahawa Kuala Lumpur kini bergantung kepada Sabah dan Sarawak untuk mengukuhkan kerajaan pusat akan datang.

Isu PTI sangat ketara yang sering ditonjolkan samada pembangkang mahupun pemimpin BN sendiri untuk diatasi sebelum pilihanraya, begitu juga pengagihan kuasa dikalangan kompenan BN dan rakyat Sabah perlu seimbang. Isu tanah anak negeri yang kini diceroboh oleh syarikat-syarikat gergasi Semananjung, begitu juga Petronas berapa peratus yang harus dimiliki oleh kerajaan negeri. Pembinaan empangan yang tidak dirancang melibatkan ribuan penduduk kampong terlibat juga tidak kurang pentingnya. Penguasaan ketua Jabatan yang seharusnya menjadi milik rakyat negeri ini , juga menjadi perbualan hangat melalui media.

Justeru, pemimpin Sabah tidak seharus bertelagah sesama sendiri, tetapi mereka perlu merenungkan kembali apakah objektif utama mereka dalam perjuangan politik mereka, adakah hanya untuk mengisi kentung sendiri atau sanggup berjuang untuk mempertahankan hak rakyat dan negeri ini, walaupun pihak pemimpin atasan tidak menyukai kritikan mereka, tetapi rakyat pasti berdiri dibelakang mereka.

August 14, 2010

Kritikan adalah Memantapkan Organisasi

Banyak kritikan secara terbuka samada dikalangan kompenan BN maupun pihak pembangkang dianggap negatif oleh sebilangan kecil, yang saya anggap terlalu sempit pemikiran mereka apabila tidak mau ditegur atau dikritik. Justeru kita harus mengambil iktibar apabila kerajaan yang ditunjangi BN yang memerintah berkurun lamanya hampir kecundang dalam pilihanraya umum 2008.

Mengimbas kembali beberapa perhimpunan agung UMNO sebelum pilihanraya 2008 diadakan, ada setengah pemimpin pemuda yang begitu agresif yang melaungkan perkataan - perkataan yang boleh menyingungkan perasaan orang lain dengan mencium keris. Lantas tiada siapa pun berani menegur secara terbuka dikalangan UMNO kerana takut - takut menyingung perasaan atau menjaga hati pemimpin mereka. Tetapi 2008 telah membuktikan impaknya diseluruh negara, sehingga Sabah dan Sarawak kini dianggap simpanan tetap kerajaan Pusat.

Kita merenungkan kembali sejarah pilihanraya 1970 dan 1980an dimana pengundi disetengah kawasan di Semenajung Malaysia lebih cenderung memilih wakil rakyat pembangkang dikawasan Bandar besar supaya suara mereka dapat dibawa ke Dewan Parlimen. Dan gagasan tanjung 1 dan 2 yang diilhamkan oleh Lim kit Siang untuk menakluk Pulau Pinang ketika itu tidak berjaya, walaupun percubaan beliau kali kedua. Pada hemat saya Lim Kit Siang pada ketika itu hanya menumpukan untuk menubuhkan kerajaan negeri sahaja.

Implikasi 30 tahun lalu, pemikiran rakyat dan pemimpin pembangkang tidak lagi tertumpu kepada menubuhkan kerajaan negeri, malahan tumpuan beralih menubuhkan kerajaan Persekutuan. Secara logiknya jika kerajaan Persekutuan tumbang bererti kerajaan negeri juga akan tunduk kecuali PAS di Kelantan (sejarah membuktikan) dan lain negeri atas beberapa tekanan politik dan ekonomi. Oleh itu UMNO dan seterunya janganlah menganggap segala kritikan oleh rakan mereka sebagai satu ancaman, tetapi sebagai satu kaedah untuk memantapkan parti secara dalaman.

Isu Mazu di Kudat juga ramai yang menganggap ianya isu peribadi antara KM dan Tan Sri Chong Kah Kiat. Tetapi cuba kita renungkan kembali dimana kah sebenarnya kepincangan ini? adakah ia semata-mata dengan pembinaan ini untuk menarik pelancong berkunjung ke Kudat atau pun melibatkan pembinaan tempat ibadah yang suci bagi mereka yang terlibat?. Saya fikir isu ini perlu ditangani dengan bak kata pepatah "Menarik benang dalam tepung".

Larangan Pemeliharaan Babi Oleh Kerajaan Negeri

Jika benar kenyataan Datuk Seri Wilfred M. Bumburing selaku timbalan Presiden UPKO yang mengulas tindakan kerajaan Negeri yang melarang pemeliharaan babi oleh individu, samada di bandar maupun di luar bandar, merupa tindakan tidak rasional dan menyingung perasaan (insult) kepada kaum tertentu terutama sekali masyarakat KDM.

Gagasan 1Malaysia yang kedengaran dicanangkan diseluruh tanah air tidak lagi diambil kira dalam menimbulkan isu-isu yang cuba menagangkan ketagangan kehormonian masyarakat kita. Mungkin ada setengah pihak menganggap perkara ini kecil, tetapi pada dasarnya ia akan membawa impak yang negatif kepada masyarakat tertentu yang berkurun lamanya, binatang ternakan ini adalah makanan halal bagi mereka. Disamping itu juga ia merupakan binatang ternakan sebagai simbolik yang memainkan peranan penting digunakan untuk menjatuhkan hukuman "Sogit" adat-istiadat suku kaum Kadazandusun dan Murut dalam pembincaraan adat.

Justeru itu saya berpendapat sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan dan kenyataan secara terbuka, eloklah meminta nasihat dari para pemimpin masyarakat KDM terutama sekali para pemagang adat seperti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua - Ketua Kampong yang mewakili masyarakat tersebut. Kita tidak mahu perkara yang kecil akan membakar diri kita dalam pilihanraya akan datang. Dan juga kalau isu sedemikian tidak ditangani dengan sebaik mungkin, jangan hairan ia mudah dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk meraih simpati dalam pilihanraya nanti.

August 11, 2010

Saham Amanah Sabah (SAS) : Kertas Putih Wajar.

Setelah saya mengkaji beberapa kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin politik samada kerajaan BN atau Pembangkang berhubung isu kerugian yang melibatkan pelabur dalam SAS, maka kesimpulan saya adalah wajar menyediakan kertas putih.

Ada beberapa alasan kenapa saya menyokong SAS perlu kertas putih, walaupun saya bukan pro Datuk Yong Teck Lee dalam hal ini. Tetapi untuk memberi keadilan kepada mana-mana pihak saya percaya kaedah ini adalah jalan penyelasaian supaya tidak berlaku tuduh menuduh atau menuding jari asyik menyalahkan pihak lain.

Jika perkara ini sering ditolak oleh Dewan Undangan Negeri yang bersidang walaupun wakil SAPP membawa usul tersebut untuk dibahas, tetapi ditolak oleh wakil dewan yang diwakil 57 YB dari BN, adalah tidak adil bagi Datuk Yong. Para pelabur juga akan bertanya siapakah punca kerugian ini? dan mengapa ahli dewan yang mejoriti diwakili oleh wakil kerajaan seolah-olah takut membahaskan isu ini secara terbuka.

Juga menjadi persoalan bahawa pihak wakil kerajaan telah mengamabil keistimewaan dewan bagi menolak perbahasan berhubung isu tersebut.

Mutu Perkhidmatan Pelanggan kita Rendah

Baru-baru ini saya dan isteri berkunjung ke Pasar Raya yang terletak di Wisma Merdeka. Selepas membeli belah kami singgah di sebuah restoran yang kebetulan dalam gedung yang sama untuk menikamti makan malam. Pada masa yang sama kami juga terserempak dua pasangan Warga British juga masuk ke restoran dan duduk sementara pelayan restoran tersebut datang untuk mengambil pesanan makanan dari kedua pasangan tersebut.

Setelah kami memerhati pelayan itu mengambil pesanan makanan, pelayan ini amat sukar memahami apa yang dipesan oleh kedua pasangan ini. Ini memaksa saya campur tangan dan menyuruh isteri saya membantu pelanggan tadi agar mereka dapat memesan makanan yang mereka mahu.

Apa yang memalukan saya sikap beberapa pelayan dalam restoran tersebut terus-menerus mentertawakan rakan mereka yang mengambil pesanan tadi. Banyak lagi sikap biadap yang mereka tunjukkan kepada pelanggan, yang mana tidak sopan dan hormat seperti yang kita war-warkan selama ini bahawa kita orang Malaysia mempunyai nilai budaya yang tinggi, tetapi sebaliknya.

Kalaulah selama ini Kementerian Pelancongan bekerja keras untuk mempromosikan tempat-tempat yang menarik dinegeri ini untuk dilawati oleh pelancong dari negara luar dengan erti kata lain, bahawa produk pelancongan adalah salah satu sumber ekonomi negeri ini yang perlu ditunjulkan, maka hasrat kerajaan itu hanya sia-sia belaka disebabkan mentaliti sebahagian kecil masyarakat yang masih rendah nilai-nilai budaya kesopanan .

Dengan ini saya mencadangkan agar, bukan sahaja pihak-pihak tertentu dilatih supaya sentiasa senyum apabila menyambut tetamu samada dipusat-pusat peranginan, lapangan terbang atau hotel, tetapi pekerja restoran juga perlu diminta mengikuti kursus cara-cara berkomunikasi dan bersopan. Mungkin ada setengah pihak menganggap perkara ini kecil tetapi ia akan membawa impak yang besar terhadap industri pelancongan kita.

August 06, 2010

Saman Trafik

Kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang tidak akan memberi diskaun kepada para pengguna jalanraya yang telah di saman adalah perlu disambut baik oleh orang awam. Ini disebabkan para pesalah trafik tidak lagi menunggu untuk membayar saman mereka, apabila diadakan bulan pengampunan.

Langkah yang diambil oleh pihak polis ini merupakan satu pengajaran sivik kepada orang awam yang secara langsungnya menjadi pengguna jalanraya. Sebenarnya banyak kaedah yang boleh diimplementasikan bagi para pesalah trafik untuk membayar saman tanpa diskaun. Seperti yang diamalkan di beberapa negara maju contoh di Amerika syarikat, dimana para pesalah trafik tidak mempunyai peluang langsung untuk tawar-menawar dengan pihak polis apabila disaman. Tugas polis hanya mengeluarkan tiket saman mengikut kesalahan oleh pesalah trafik.

Soal pembayaran saman adalah tanggungjawab pihak Makhamah Bandaran (Municipal Court) yang dibuka setiap bulan untuk mendengar kes-kes kesalahan trafik. Maka pada hari tersebut pihak hakim akan menentukan hukuman berdasar kemampuan pesalah trafik untuk membayar. Jika pesalah disaman RM300 tetapi dia hanya mampu membayar RM100 pada hari tersebut, maka hakim akan membuat penjadualan pembayaran RM100 atau kurang setiap bulan untuk menyelasaikan kesemua jumalh saman yang dikenakan tanpa ada diskaun.

Rasional di sebalik kaedah yang diamalkan oleh negara-negara maju ini adalah tidak ada ruang untuk menerima atau memberi rasuah. Pesalah juga berkemampuan menyelasai kesemua jumlah saman yang dikenakan walaupun mengambil masa yang panjang tetapi ia adil kepada pesalah yang lain. Pihak polis juga tidak boleh mengambil kesempatan untuk mengertak pesalah trafik dengan tujuan meminta suapan.

August 05, 2010

Jabatan Persekutuan Sabah Harus Diketuai Anak Tempatan

Banyak kenyataan dari para pemimpin politik samada dari kalangan BN maupun Pembangkang dinegeri ini yang menuntut bahawa Jabatan Persekutuan di Sabah seharusnya diketuai oleh anak Sabah sendiri.

Apabila kita menghayati gagasan 1Malaysia seolah-olah kenyataan ini telah bercanggah dengan inspirasi PM untuk terus membangunkan negara kita Malaysia. Soal siapa yang menjadi ketua Jabatan atau Agensi Persekutuan di negeri ini, bukanlah perkara yang menjadi keutamaan kita.

Pada umumnya adakah kita diterima menjadi ketua Jabatan Persekutuan dinegeri lain di Malaysia ini? jika kita bersikap keterbukaan terhadap rakyat Malaysia dari negeri lain ( Semananjung ) yang bertugas di Sabah, saya percaya rakyat dari negeri Sabah seharusnya juga dapat diterima dengan baik ditempat lain, baru lah gagasan 1Malaysia benar-benar dihayati dan menjadi realiti kepada masyarakat Malaysia khasnya.

Isu Pelajar Hamil

Kebimbangan masyarakat dalam menangani isu-isu kehamilan pelajar kini hangat diperdebatkan. Walau bagaimana pun terdapat percanggahan pendapat dikalangan pemimpin wanita untuk mencari kaedah yang konkrit dalam mengatasi gejala tersebut.

Ada setengah mereka mencadangkan untuk menubuhkan Sekolah khas bagi pelajar tersebut supaya mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Kita merasa khuatir seolah-olah cadangan ini untuk menggalakkan mereka yang terlibat tidak merasa bersalah atau berdosa atas perbuatan yang jejek, tanpa mengambil kira impaknya kepada masyarakat kita.

Seringkali kita terdengar apabila berlakunya perbuatan yang tidak senonoh dikalangan anak muda kita, maka kita katakan semua ini budaya yang diciplak dari dunia barat. Kenyataan kita biasanya semua perbuatan yang jejek adalah datang dari barat. Saya berpendapat tiba lah masanya kita berfikir sejenak dimana kah kelemahan kita ?.

Menarapkan nilai-nilai moral dan agama dalam institusi keluarga itu sendiri perlu diperhebatkan. Apa tah lagi para pemimpin masyarakat harus menjadi role model agar generasi muda lebih menghormati mereka. Pemimpin agama juga tidak terkecuali kerana golongan ini sejak akhir-akhir ini telah banyak dipamparkan bahawa mereka juga melakukan perbuatan sumbang sehingga kredibiliti mereka dalam masyarakat kini dipersoalkan.

Apa yang penting golongan remaja ini perlu banyak didedahkan tentang konsekuen perbuatan yang mereka akan lakukan.
 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved