Melihat kepada perkembangan isu-isu politik tanah air dan mengambil kira kepentingan rakyat negeri Sabah, saya mengambil kesimpulan bahawa, tibalah masanya SAPP harus berjalan sendirian tanpa bergabung pada mana-mana parti politik yang berasal dari Semenanjung. Walaubagaimanapun kepimpinan SAPP perlu membuat satu re-branding terhadap parti tersebut di peringkat pimpinan tertinggi dengan tujuan memantapkan lagi gandingan yang sedia ada.
Apa yang saya lihat sekarang bahawa perang mulut secara terbuka melalui media cetak oleh SAPP terhadap rakan pembangkang mereka DAP, tidak akan membawa sebarang kebaikan malahan memudaratkan lagi peluang untuk memenangi sebarang kerusi dalam PRU13. Ini jelas bahawa dalam pilihanraya kecil parlimen di Batu Sapi di mana SAPP dan PKR masing-masing bersaing untuk meraih undi dan berlaku perselisihan faham sehingga berlakunya tuding-menuding jari tanpa disedari bahawa musuh yang harus mereka hadapi adalah BN.
SAPP sepatutnya kembali kepada perjuangan asas untuk mempertahankan hak negeri ini dalam mengukuhkan perjuangan rakyat Sabah agar tidak dirampas oleh mana-mana pihak. Konsistensi dan fokus terhadap perjuangan, SAPP akan memberi impak yang positif kepada rakyat Sabah yang mahu hak mereka tidak tergadai begitu sahaja. Justeru, SAPP perlu di re-branding dengan membawa masuk para pemimpin yang berkalibar dan berpengaruh daripada kaum KDM dan juga Muslim bagi menunjukkan SAPP benar-benar bukan dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Walaupun pada dasarnya terdapat beberapa pemimpin yang sedia ada adalah daripada kaum tadi, namun itu tidak cukup kerana ramai mereka hanya semata-mata untuk menjadi calon tanpa mengambilkira pengaruh mereka di peringkat akar umbi.
Penggabungan SAPP dengan parti pembangkang dari Semenajung dalam PRU13 akan datang untuk menghadapi BN tidak akan membawa sebarang manfaat, kerana ketulinan perjuangan yang berasaskan kenegerian akan menghakiskan kepercayaan rakyat untuk mempertahankan hak dan otoriti terhadap negeri Sabah. SAPP perlu berjuang berlandaskan isu-isu semasa yang disuarakan oleh akar umbi seperti PTI, Tanah Adat, Otoriti Pendidikan kepada negeri, Imigresen dan banyak lagi yang termaktub dalam 20 perkara yang masih relevan sampai hari ini.
0 comments:
Post a Comment