November 03, 2011

Kenapa UMNO Sabah Melenting Kritikan Datuk Chin Su Phin?

Melihat isu-isu semasa politik tanah air negeri Sabah yang sering dipaparkan di dada media, saya mengambil kesimpulan sebilangan cara para pemimpin berfikir dan berhujah masih jauh ditahap rendah ataupun dengan kata lain politik kampung-kampung. Mana tidaknya pemimpin jenis ini asyik mengampu pemimpin atasan mereka dengan tujuan dalam PRU13 nanti mereka pasti dipilih semula. Sebenarnya  sikap mereka ini akan membawa bala yang lebih besar kepada kerajaan BN yang dilihat menghadapi cabaran getir dalam PRU nanti, jika keadaan mengampu pemimpin atasan tidak dihentikan serta merta.

 Saya begitu teruja atas sikap pemimpin seperti YB Datuk Ghapur Salleh, ahli Parlimen Kalabakan dan YB Datuk Lajim Ukin, ahli Parlimen Beaufort yang mengambil sikap terbuka dalam menyuarakan isu-isu yang berbangkit dengan masalah dalaman  BN itu sendiri. Saya hairan walaupun parti yang bertaraf nasional seperti UMNO sudah bertapak sekian lama di negeri ini , namun sebilangan kecil pemimpin yang mewakili parti tersebut masih belum mempunyai standard yang boleh dibanggakan. Kerana mungkin mereka beranggapan mandat yang diberikan oleh rakyat setiap PRU, bukan untuk menyuarakan masalah rakyat yang diwakili mereka, tetapi satu wadah untuk memperkayakan diri demi mendapatkan kontrak berjuta ringgit. Mentaliti pemimpin jenis semacam ini harus ditolak oleh rakyat.

Kritikan Datuk Chin Su Phin dengan mulut celupar beliau menghentam UMNO, seringkali membuat sesetengah pemimpin rasa gelisah dan gusar atas sikap beliau yang tidak rasa gentar walaupun dilimparkan dengan kata-kata kesat seperti "biadap", "kurang ajar" dan banyak lagi perkataan yang tidak sepatutnya diperkatakan oleh seseorang namanya pemimpin. Lihat sahaja pencerobohan beberapa orang yang tidak bertanggungjawab semasa persidangan agung LDP di Sandakan yang dirasmikan oleh PM dan dihadiri bersama KM, perbuatan mereka ini pula dihalalkan oleh pemimpin UMNO tempatan, kononnya teriakan mereka semasa ucapan TPM itu tanda sokongan padu mereka terhadap TPM dan KM yang hadir. Adakah mereka sedar perhimpunan agung itu bukan milik UMNO atau PBS atau mana-mana komponen BN lain. Cubalah  seandainya para penyokong LDP masuk ke dewan persidangan UMNO dan berteriak sesuka hati, adakah dianggap bersopan atau apa yang terjadi sebaliknya.

Kita perlu menerima hakikat dalam keluarga yang besar tidak semua anak-anak kita mempunyai perangai yang sama, ada yang menjadi anak kesayangan mak atau bapa, sehingga anak kita dipanggil "anak mak" atau "anak abah". Secara logiknya begitu juga parti-parti politik seperti komponen BN, yang pemimpinnya mempunyai ideologi yang berbeza. Tetapi kalau pemimpin itu bersikap mengampu sahaja kerjanya, akhirnya segala kelemahan ataupun barah dalam komponen BN itu sendiri tidak  dapat disembuhkan, kerana tahap jangkitannya semakin parah. Itulah sebabnya para pemimpin UMNO perlu melihat kritikan rakan komponen mereka secara terbuka. Kita perlu belajar impak PRU12 2008, di mana aliran perubahan pemikiran rakyat sudah jauh berubah. Akibat terlalu mengampu kepada pemimpinlah menyebabkan UMNO-BN di Semenanjung Malaysia hampir-hampir hilang kuasa dalam kerajaan. Nasib baik rakyat Sabah dan Sarawak masih mempunyai keyakinan terhadap kerajaan  BN. Liputan akhbar nasional yang pro kerajaan juga bukan penanda aras kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap BN, maka saya anjurkan jangan sekali-kali pemimpin BN naik tongking bila melihat satu majlis anjuran mereka mendapat sambutan yang hebat, kalau ia tidak boleh diterjemahkan dalam PRU13.

Komponen BN perlu menunjukkan taring mereka kepada rakyat untuk meperjuangkan agenda pembangunan yang sepatutnya rakyat harus nikmati, bukan itu sahaja kritikan antara sesama komponen BN menunjukkan mereka tidak diam begitu sahaja, dengan ertikata sebenar mereka itu buat kerja. Kalau mereka tidak menyuarakan isu-isu semasa samada luaran atau dalaman, maka rakyat mulai berfikir bahwa YB yang dipilih mereka hanya mengikut telunjuk pemimpin atasan sahaja. Ini menyebabkan parti pembangkang mulai mendapat ilham untuk menjatuhkan pemimpin BN yang takut bersuara untuk menegakkan kebenaran, walaupun perkara tersebut perlu diutarakan. Kritikan dalaman bukan bererti kita menghancurkan parti, tetapi ia akan lebih menguatkan lagi keutuhan parti tersebut, dengan tujuan memperbaiki kelemahan yang sedia ada. Jangan sampai rakyat kita sendiri sudah muak perangai pemimpin kita sehingga menghukum pemimpin kita dalam PRU13 kelak.

People who read this post also read :



0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2010 Santapan Minda Sadom All rights reserved